Setelah dilancarkan pada platform Google Chrome, kini Rovio terus memperluaskan platform yang disokong dengan permainan Angry Birds apabila ia dilaporkan bakal melancarkan Angry Birds di Facebook pada 14 Februari kelak, dan menariknya pelancarannya akan diadakan di Jakarta, Indonesia, satu daripada negara dengan pengguna Facebook paling ramai di dunia.
Jadi, apakah perbezaan yang bakal dibawakan pada platform Facebook? Pertama sekali, ia akan mengintegrasikan fungsi sosial sepenuhnya yang menerusi Angry Birds pada Facebook, ia bakal menyertakan sistem kedudukan berdasarkan mata membolehkan anda bersaing antara satu sama lain rakan-rakan anda.
Pada masa sama, ia juga akan membolehkan para pemain membeli kuasa tambahan atau burung-burung khas pada harga serendah $0.99, sekaligus memudahkan anda menyelesaikan sesuatu fasa permainan itu dengan pantas.
Angry Birds pada Facebook juga bakal membawakan kualiti grafik dan animasi yang tinggi serta didatangkan dengan sokongan untuk dimainkan pada skrin penuh. Sama-sama kita nantikan 14 Februari kelak untuk pelancaran Angry Birds di platform Facebook.