Amazon ialah nama besar dalam dunia perniagaan atas talian. Mereka baru sahaja mengembangkan perkhidmatan Prime Now di Singapura penghujung bulan lalu yang menawarkan penghantaran barang dalam masa sejam. Di masa hadapan masa penghantaran akan menjadi semakin singkat dengan penggunaan armada dron mereka.
Amazon telah mempatenkan sebuah lagi sistem dron yang mungkin digunakan di masa hadapan. Kali ini sistem dron yang beroperasi dari kereta api telah dipatenkan. Gerabak kereta api akan menjadi gudang bergerak. Apabila menerima pesanan, produk akan diambil dari gudang bergerak ini dan dihantar menggunakan dron yang menjadikannya “kereta api induk”.
Gerabak khas yang berfungsi sebagai bengkel baik pulih dan menukar bateri turut dipatenkan. Robot akan digunakan bagi menggantikan komponen yang rosak seperti kipas dan menggantikan bateri yang hampir habis.
Walaupun dipatenkan sebagai sistem kereta api, dokumen paten turut menyatakan sistem ini boleh juga digunapakai pada lori dan kapal laut. Ini adalah sebuah lagi paten sistem penghantaran menggunakan dron oleh Amazon. Sebelum ini mereka mempatenkan gudang terbang belon udara gergasi dan menara yang menjadi markas dron mereka.