mazizul@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pengguna terkandas sekurang-kurangnya tiga jam selepas Transit Aliran Ringan (LRT) mengalami masalah teknikal, hari ini.
Pegawai perundangan, Norshazwani Mohd Sobri, 34, yang ditemui di Stesen LRT Ampnag Park, berkata: “Kerosakan begini memang menyusahkan semua orang ke tempat kerja. Saya sepatutnya menghadiri kursus tetapi terlambat sebab masalah tren ini.”
Perunding insurans, Mazlan Abu Bakar, 59, berkata, dia bernasib baik kerana urusan yang perlu dihadiri hanya pada sebelah petang.
“Nasib baik ‘meeting’ (mesyuarat) saya pada 3 petang. Saya ambil LRT dari Taman Bahagia untuk ke Setiawangsa. Itu pun sejam tunggu tren,” katanya.
Sementara itu, suri rumah, Rozana Mohd Rasul, 50, berkata, dia kesal kerana tidak dimaklumkan lebih awal sebelum dia membeli tiket.
“Saya terpaksa tunggu tren yang berikutnya sebab yang mula-mula tu memang sesak tak boleh naik. Masa di kaunter, tidak pula diberitahu ada masalah,” katanya yang selesa menggunakan pengangkutan awam sekiranya ada urusan di ibu negara.
Mereka ditemui Harian Metro yang membuat tinjauan di sekitar Stesen Ampang Park, pada kira-kira 1 petang.
Ketika waktu itu, tiada lagi pengguna terkandas di stesen berkenaan.
Tetapi, jadual perjalanan tetap terganggu menyebabkan tren sesak dengan pengguna yang menghala ke Kelana Jaya manakala tren menghala ke Gombak agak lebih lancar.
Biarpun masalah berkenaan yang dikatakan bermula kira-kira 7 pagi, dan menyebabkan penumpang LRT geram serta kecewa, RapidKL tetap berterusan melayan pertanyaan pengguna di laman Twitter @AskRapidKL.
Bagaimanapun, masalah yang berlaku disebabkan gangguan bekalan kuasa antara Stesen Ampang Park dan Dang Wangi itu, pulih, kira-kira 2 petang, seperti yang dinyatakan menerusi laman Twitter @AskRapidKL.
RapidKL dalam satu kenyataan meminta maaf kepada penumpang yang terjejas disebabkan masalah pada sistem komunikasi dan isyarat antara laluan berkenaan.

Kuala Lumpur: Pengguna terkandas sekurang-kurangnya tiga jam selepas Transit Aliran Ringan (LRT) mengalami masalah teknikal, hari ini.





Widget not in any sidebars