Xiaomi pada tahun ini mula agresif dan mula memperluaskan tawaran mereka ke luar China, termasuk di Malaysia. Sementara telefon Xiaomi Mi3 mereka masih mempunyai permintaan yang tinggi, pengeluar dari China berkenaan dilihat sedang membangunkan generasi baru untuk telefon utama mereka, iaitu Xiaomi Mi 4.
Daripada gambar baru yang hadir diperkatakan sebagai Xiaomi Mi4, ia memperlihatkan rekaan panel dengan bahagian tepi yang lebih nipis berbanding versi sebelumnya. Peranti ini juga dilihat menyertakan butang kawalan pada panel, dan bukannya pada skrin.
Mengikut desas-desus sebelum ini, Xiaomi Mi4 dijangka akan menggunakan skrin bersaiz 5-inci dengan paparan 1080×1920 pixel, serta dilengkapi dengan kamera belakang 13-megapixel. Seperti pelbagai peranti mereka, ia juga akan menggunakan MIUI dan versi Android terkini padanya.
Buat masa ini, ia tidak lagi diketahui bilakah pihak Xiaomi akan memperkenalkan telefon pintar baru mereka ini. Mungkinkah kita akan dapat melihatnya hadir dalam beberapa bulan lagi?