Jika anda sedang mencari laptop untuk kegunaan pejabat ataupun untuk dibawa keluar berjumpa klien, Acer juga baru sahaja mengumumkan kehadiran laptop Acer Swift 3 dan juga Acer Switch 5 untuk pasaran Malaysia.
Acer Swift 3 bukanlah sebuah laptop yang baru, kerana ia telahpun dilancarkan tahun lalu bersama-sama dengan laptop Acer Swift 7 dan Swift 5, tetapi pihak Acer telah mengumumkan kemaskini spesifikasi untuk laptop ini untuk menjadikannya lebih berkuasa.
Sebagai contoh, laptop ini yang pada mulanya hadir dengan paparan skrin 14 inci sahaja, kini hadir dengan pilihan untuk menggunakan skrin bersaiz 15.6 inci pada resolusi Full HD 1920×1080. Dari segi komponen pula, kini ada pilihan untuk menaiktarafkan memori DDR4 kepada 8GB dan storan SSD kepada 256GB.
Bukan itu sahaja, model laptop Acer Swift 3 ini juga hadir dengan dua warna baru, iaitu Stellar Blue dan Salmon Pink.
Acer Switch 5 sebuah lagi laptop yang diumumkan di acara Acer GPC, dan ia boleh dilihat seakan siri tablet Surface Pro dari Microsoft, dan ia bukan sahaja mempunyai komponen yang berkuasa, tetapi juga hadir dengan aksesori seperti papan kekunci dan pena yang tidak perlu dibeli secara berasingan.
Untuk pasaran Malaysia, tablet Switch 5 hadir dengan pilihan CPU Intel Core i5-7200U ataupun Core i7-7500U, memori DDR4 sebanyak 8GB, dan juga storan SSD sebanyak 256GB ataupun 512GB. Ia juga mempunyai paparan skrin bersaiz 12 inci dengan resolusi yang besar pada resolusi 2160×1440 pixel.
Ia juga hadir dengan sistem penyejukan Acer LiquidLoop yang menyejukkan komponen-komponen di dalam tablet ini dengan menggunakan penyejuk cecair. Seperti yang kami katakan sebelum ini, tablet ini juga hadir dengan papan kekunci yang juga berfungsi sebagai penutup paparan tablet dan juga sebuah pen yang mempunyai 1024 titik tekanan.
Acer juga berkata bahawa kedua-dua peranti ini hadir dengan bateri yang boleh bertahan selama 10 jam dengan satu pengecasaan. Dengan ini, anda boleh keluar dengan laptop ini tanpa perlu membawa pengecas laptop, ataupun risau mengenai kehabisan bateri ketika bekerja.
Kedua-dua peranti ini juga akan hadir di Malaysia pada masa yang terdekat ini. Bergantung kepada pilihan saiz paparan dan konfigurasi komponen, Acer Swift 3 boleh dibeli pada harga bermula RM3399 sehinggalah RM3899. Untuk tablet Acer Switch 5 pula, model dengan CPU Intel Core i5-7200U akan dijual pada harga RM3999, manakala model yang menggunakan CPU Intel Core i7-7500U akan dijual pada RM4999.