Malaysia bumi bertuah kerana banyak agensi wujud dalam membantu usahawan dan perniagaan start-up dan kini Malaysian Business Angels Network (MBAN) turut bersama dalam usaha ini. MBAN merupakan agensi yang menempatkan pelabur dana awal (angel investor) dan kini agensi ini mengumumkan hala tuju mereka yang mana kini berfokus ke arah sektor swasta.
Angel investor atau angel adalah istilah yang merujuk kepada pelabur yang membekalkan dana dan khidmat bantuan untuk perniagaan start-up. Setiap angel selalunya menggunakan pendapatan atau pengalaman perniagaan mereka dalam membantu para usahawan ini untuk meningkatkan lagi perniagaan mereka.
Dalam kehidupan sebenar, angel investor telah banyak membantu syarikat-syarikat teknologi seperti Mike Markkula yang telah membantu Steve Jobs dan Steve Wozniak dalam membangunkan Apple Inc. pada tahun 1977. Di Malaysia, angel telah membantu salah satu aplikasi tempahan teksi iaitu MyTeksi dan laman web Intelligent Money yang berjaya mendapatkan dana lebih RM35 juta daripada pelabur untuk membantu mereka dalam menjalankan perniagaan.
Bercakap mengenai MBAN, melalui ke arah sektor swasta ini mereka dapat menarik lebih banyak lagi pelabur dana awal terutamanya daripada sektor swasta. Sebelum ini, MBAN mula bergerak di bawah sektor awam melalui Cradle Fund Sdn Bhd yang merupakan agensi di bawah naungan Kementerian Kewangan Malaysia.
Richard Wong selaku Ketua Pegawai Eksekutif terbaru bagi MBAN berkata, kesemua angel bukan sahaja membantu dalam urusan kewangan akan tetapi turut terlibat dalam menjadi mentor kepada usahawan dan syarikat start-up. Melalui pengalaman yang telah sedia ada, para angel akan membantu sedikit sebanyak dalam memberikan idea dan khidmat nasihat kepada usahawan baru ini.
Pihak MBAN juga turut menawarkan Angel Tax Incentive yang mana membolehkan angel investor mendapat potongan cukai sehingga RM500,000 setahun selepas mereka melabur di dalam sesebuah syarikat.
Bagi yang berminat untuk mengetahui lebih lanjut mengenai agensi pelaburan dana awal ini, layari laman web MBAN di http://www.mban.com.my/ untuk mendapatkan info mengenai pelaburan ini.