Pengimbas jari ialah fungsi standard pada telefon mudah alih. Pengimbas nadi buat masa ini hanya ditemui pada peranti utama keluaran Samsung seperti Galaxy S8. Di masa hadapan iPhone mungkin akan menawarkan fungsi yang sama kerana Apple telah mempatenkan sistem pengesan kesihatan mereka.
Menerusi paten yang difailkan, kamera dan sensor cahaya pada bahagian hadapan iPhone boleh digunakan untuk mengesan kesihatan pengguna. Antara bacaan yang boleh dilakukan ialah degupan nadi, tahap oksigen dalam darah, tekanan darah, indeks lemak dalam tubuh dan kadar peluh.
Sistem pengesan kesihatan ini nampaknya lebih kompleks berbanding yang ditemui pada peranti lain sebelum ini. Kelebihan paten ini ialah Apple tidak perlu melakukan perubahan drastik pada bahagian hadapan iPhone untuk menyertakan pengesan kesihatan di masa hadapan.