Perang paten di antara Qualcomm dan Apple menjadi semakin buruk pada Julai lalu. Qualcomm nekad memfailkan aduan kepada Suruhanjaya Perdagangan Antarabangsa (ITC) bagi menghalang import masuk iPhone ke Amerika Syarikat. Sebab yang diberikan ialah Apple dituduh menggunakan enam paten milik Qualcomm tanpa membayar royalti yang sewajarnya.
Pihak ITC telah memulakan semakan ke atas aduan enam penyalahgunaan paten yang didakwa dilakukan oleh Apple. Keputusan semakan akan diumumkan dalam masa 45 hari. Sekiranya aduan diterima, jualan iPhone di Amerika Syarikat akan terjejas teruk kerana peranti dihalang dari import masuk.
Apple masih berkeras untuk menghentikan pembayaran royalti selagi mereka tidak ditawarkan harga yang adil dan munasabah.