Facebook sebelum ini sedia menawarkan sebuah aplikasi khusus untuk Facebook Groups pada peranti mudah-alih Android dan iOS. Ia diperkenalkan dengan fokus untuk memudahkan pengguna mengikuti pelbagai aktiviti dan perkembangan komuniti dibawah Facebook Groups yang disertai oleh seseorang pengguna.
Kini, Facebook mengumumkan yang mana aplikasi Facebook Groups pada kedua-dua platform berkenaan akan berhenti berfungsi selepas 1 September 2017 kelak. Facebook mengatakan langkah ini diambil kerana mereka ingin memfokuskan ciri Groups pada aplikasi utama Facebook, dan juga pada web mereka.
Selepas tarikh 1 September 2017, pengguna tidak lagi boleh log masuk ke aplikasi Facebook Groups di Android dan iOS. Sebaliknya, anda perlu mengikuti perkembangan Facebook Groups anda pada aplikasi utama Facebook.