RED, pengeluar kamera premium sebelum ini telah mengumumkan mereka akan hadir dengan sebuah telefon pintar yang dinamakan Hydrogen dengan sejumlah ciri-ciri menarik. Info penuh mengenainya masih lagi samar-samar, tetapi kini, Marques Brownlee atau popular dengan panggilan MKBHD berkongsi video memperlihatkan prototaip awal untuk telefon pintar RED Hydrogen ini.
Daripada apa yang diperlihatkan, ia membawakan rekaan seumpama tahan lasak, dan hadir dengan bahagian tepi yang ingin memudahkan genggaman. Telefon pintar ini akan menawarkan panel bersaiz 5.7-inci, dengan rekaan peranti sekitar saiz iPhone 7 Plus.
Memandangkan ia hadir daripada RED, mereka turut tidak ketinggalan untuk menawarkan butang khusus untuk rakaman gambar, selain melengkapkan ia dengan sokongan speaker stereo. RED Hydrogen ini turut menggunakan dwi-kamera untuk rakaman gambar dan video.
Peranti ini memfokuskan kepada dua perkara utama – iaitu panel holografik dan juga sokongan modular.
Prototaip yang dipertontonkan tidak mempunyai panel yang aktif. Tetapi menurut MKBHD yang mencuba prototaip lain dengan fokus terhadap ciri holografik berkenaan, ia dilihat menawarkan paparan empat-dimensi untuk menikmati kandungan dalam kaedah seumpama tiga dimensi tanpa sebarang kaca mata tambahan dan sebagainya. Ia turut dikatakan yang mana pengguna turut boleh memilih untuk hanya memaparkan kandungan dalam bentuk 2D sahaja seperti semua telefon pintar lain.
Untuk sokongan modular pula, ia menyertakan sambungan berasaskan magnetik seumpama apa yang dilakukan oleh Lenovo pada siri Moto.
Buat masa ini, tarikh akhir pelancarannya masih tidak diketahui. Tetapi, pihak RED telah mula mengambil pra-tempahan untuknya pada harga $1200.