Satu demi satu perkembangan mula kedengaran berkaitan dengan Windows generasi akan datang – dikenali dengan nama kod “Threshold”. “Threshold” sebelum ini diperkatakan disasarkan untuk tahun 2015, dan kini beberapa info tambahan mengenainya mula kedengaran.
Windows “Threshold” ini kelak dikatakan akan membawakan sokongan untuk menjalankan aplikasi “Metro” (yang dioptimasikan untuk Windows 8) pada bahagian desktop, tanpa perlu membuka tetingkap penuh seperti sekarang ini.
Untuk makluman, beberapa perisian pihak ketiga telah sedia menawarkannya – ModernMix. Namun, pengenalan oleh pihak Microsoft sendiri mungkin digemari, apatah lagi dengan terdapat pelbagai aplikasi menarik seperti Facebook, Flipboard, Twitter dan sebagainya.
Selain daripada itu, ia turut diperkatakan Microsoft mungkin akan menyertakan kembali menu Start yang tidak hadir pada Windows 8.1. Perkara ini dikatakan akan memudahkan para pengguna baru untuk bernavigasi dengan lebih pantas pada sistem operasi berkenaan.
Windows “Threshold” ini dijangka akan hadir dalam tiga SKU berbeza, yang mana memfokuskan pengguna, pengguna tradisional dan juga pengguna perusahaan.
Walaubagaimanapun, spekulasi dan desas-desus awal ini boleh dikatakan mungkin tidak diimplementasikan pada versi akhir kelak memandangkan pihak Microsoft kini dalam fasa pencarian CEO baru untuk syarikat mereka – yang mana mungkin akan membuat keputusan berbeza berbanding sekarang ini.