Musim panas tiba lagi dan serentak dengan itu filem-filem pecah panggung dengan kos pembikinan mencecah ratusan juta Dollar akan mula ditayangkan. Filem Transformers : The Last Knight ialah antara yang dinantikan kerana penonton gemar melihat aksi letupan dan robot gergasi berentap menghapuskan dunia. Di China Meizu E2 Transformers Special Edition dilancarkan kepada peminat siri ini.
Peranti ini dilengkapi skrin 5.5″ HD penuh, pemproses MediaTek Helio P20, RAM 4GB dan storan 64 GB. Kemampuan kamera pula ialah kamera utama 13-Megapixel f/2.2 dengan empat flash LED dipadankan dengan kamera hadapan 8-Megapixel f/2.0. Peranti ini diperbuat sepenuhnya daripada logam dengan bateri sebesar 3400 mAh. Sokongan pengecasan pantas mCharge 18 Watt disertakan.
Edisi khas ini mempunyai kemasan berwarna hitam dengan logo Autobots pada panel belakang. Turut disertakan ialah tema khas dan kotak dengan logo Transformers. Ia hanya ditawarkan di China hari ini pada harga RMB 1799 (~RM 1126) sebuah.