Kingston Hadir Dengan SSD NVMe PCIe KC1000 – Kelajuan Pembacaan Data Sehingga 2.7TB/s

Teknologi storan SSD boleh dilihat berkembang dengan sangat pesat kebelakangan ini. Dari penggunaan 3D NAND sehinggalah kehadiran perkakasan-perkakasan baru seperti Intel Optane, para pengguna mempunyai banyak pilihan untuk mengisi keperluan masing-masing.

Terkini, Kingston, syarikat yang terkenal untuk perkakasan memori dan storan mereka baru sahaja mengumumkan ketibaan SSD terbaru mereka, Kingston KC1000, yang juga merupakan storan SSD NVMe pertama daripada syarikat tersebut.

Ia menggunakan gabungan NAND planar Toshiba bersaiz 15nm bersama-sama dengan SSD controller Phison PS5007-E7, dan hadir dalam beberapa pilihan storan, bermula dari 240GB, 480GB dan 960GB.

Sokongan teknologi NVMe bermaksud bahawa kadar pengerakan data SSD ini sangat pantas, dan Kingston berkata bahawa ia mempunyai kadar membaca berurutan (sequential) selaju 2.7TB/s untuk semua model dan kadar penulisan berurutan selaju 1.6TB untuk model dengan storan yang terbesar.

Dari segi penggunaan, SSD KC1000 ini menggunakan header M.2, tetapi ia juga hadir dengan sebuah kad adapter PCIe yang membenarkan ia disambung terus kepada sebuah slot PCIe 3.0 x4 yang tidak digunakan.

SSD Kingston KC1000 ini dikatakan akan hadir ke beberapa pasaran terpilih dahulu pada pertengahan bulan Jun pada harga yang akan diumumkan kelak.

| Artikel penuh

| Muka terdahulu | Tech lain

Nota: