Bersama Manusia Cyborg Pertama Dunia – Neil Harbisson

Sekiranya anda mengikuti perkembangan sains dan teknologi, anda mungkin pernah mendengar nama Neil Harbisson iaitu manusia cyborg pertama yang diiktiraf di dunia. Beliau dilahirkan dengan penglihatan yang agak terhad, dengan ketidakbolehan untuk mengenal pasti warna sekeliling sejak daripada lahir. Kesemua perkara yang dilihat oleh Neil Harbisson berada dalam keadaan hitam dan putih, seolah-olah anda berada di alam cerita P. Ramlee yang majoritinya ditayangkan dalam format tanpa warna.

Untuk memberikan peluang kepada Neil Harbisson dalam mengenal pasti warna di sekelilingnya, beliau telah dipasangkan alat yang berbentuk sensor di bahagian tempurung kepala, yang dikenali sebagai “eyeborg”, untuk kebolehan mengenal pasti warna melalui gelombang. Alat ini mampu menukar gelombang cahaya daripada warna untuk ditukarkan kepada gelombang berasaskan bunyi.

Bersempena dengan pameran Human+ yang berlangsung di ArtScience Museum, Singapura, saya berpeluang untuk menemui Neil Harbisson untuk mendengar sendiri pengalaman beliau sepanjang menjadi manusia cyborg ini.

Sebagai permulaan, beliau diiktiraf sebagai manusia cyborg pertama di dunia di atas pemasangan alat ini dan seterusnya, menjadi sebahagian daripada anggota badan beliau. Alat ini mempunyai dua fungsi, yang terdiri daripada kebolehan untuk mengenal pasti gelombang/bunyi, dan Bluetooth untuk kebolehan sambungan internet dan kebolehan menjawab panggilan daripada otak beliau.

Walaupun dipasangkan dengan alat ini, beliau masih melihat dunia dalam keadaan hitam dan putih, tetapi gelombang yang dihantar telah membolehkan beliau mengenal pasti sesuatu warna dan warna lutsinar seperti cahaya inframerah dan ultraviolet. Gelombang ini mengeluar bunyi melodi yang berbeza, membuatkan beliau perlu mengingati seseuatu gelombang dan warnanya. Dengan kebolehan ini, beliau boleh ‘mendengar’ sesuatu lukisan dengan melodinya tersendiri, termasuk mengenal pasti seseorang individu melalui melodi gelombang yang agak unik.

Seperti deria anggota badan yang lain, alat yang berada di bahagian kepala ini tidak boleh dinyahaktifkan, melainkan Neil mencabut bateri kecil pada alat bantuan ini. Bateri yang menjana alat ini mampu bertahan sekitar 4-5 minggu sebelum ia perlu digantikan semula.

Antara cabaran yang dihadapi oleh Neil Harbisson semestinya reaksi orang ramai tatkala melihat kemunculan beliau. Neil akui sejak memakai alat ini, beliau tidak lari daripada ejekan sesetengah individu yang sering mempermainkan rupa beliau. Ejekan ini yang menariknya berubah mengikut peredaran masa, ada yang mengatakan beliau sedang memakai GoPro dan terkini, beliau diselar sebagai “rare Pokemon” akibat daripada trend permainan Pokemon Go.

Beliau juga mempunyai kesukaran ketika mendapatkan passport pada tahun 2004, akibat undang-undang yang tidak membenarkan sebarang alat diletakkan di bahagian muka untuk pengambilan gambar passport. Bagi mengatasinya, Neil perlu membengkokkan alat sensor ini ke belakang, bagi menyorokkan rupa alat ini daripada berada di dalam gambar.

Sebagai manusia cyborg pertama, beliau turut menubuhkan Cyborg Foundation bersama Moon Ribas (manusia dengan lengan Seismic Sensor) bagi pembangunan alat bantuan untuk memenuhi kebolehan dan kekurangan manusia. Ia membantu dalam menjalankan penyelidikan, penghasilan, dan mempromosi projek yang berkaitan dengan alatan yang mampu memberi kebolehan kepada manusia.

Dengan usaha beliau ini, beliau kini mampu mengenal pasti warna seperti manusia normal walaupun tidak diberi peluang pada awal mulanya. Ia amat memberi inspirasi kepada masyarakat bahawa kekurangan sesuatu anggota tidak bermakna akan kekal sehingga mati, dan boleh diatasi dengan penggunaan teknologi. Dengan perkembangan teknologi yang semakin berpatutan dari hari ke hari, Neil juga menjangkakan teknologi “cyborg” ini akan boleh dinikmati lebih ramai individu, terutama bagi golongan yang mempunyai kekurangan sifat dan anggota badan dalam menikmati kehidupan yang lebih sempurna.

Baca: Menyingkap Pameran HUMAN+ Di ArtScience Museum, Singapura

| Artikel penuh

| Muka terdahulu | Tech lain

Nota: