19 pakaian 60 saat [METROTV]

Utama

mazizul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia mencatat nama dalam Guinness World Records selepas berjaya membuat 18 pertukaran untuk 19 pakaian dalam masa satu minit.

Ahli silap mata, Avery Chin Yoke Leong dan isterinya, Sylvia Lim Chay Meei, kedua-duanya berusia 30-an mendapat pengiktirafan itu pada persembahan silap mata di Taman Tema Happy Valley, Wuhan di China sempena perayaan hari kebangsaan negara berkenaan pada 28 September lalu.

Pasangan itu yang masih berada di China ketika dihubungi berkata, mereka sangat berbangga dengan kejayaan mencatat rekod ini sebagai anak Malaysia.

“Kami sangat berbangga menjadi anak Malaysia terutamanya apabila media di sini (China) turut melaporkan mengenai kejayaan kami dengan menyebut negara Malaysia.

“Pada hari persembahan, kami berdepan cabaran angin yang agak kuat apabila berada di pentas terbuka, termasuk wakil daripada Guinness World Records turut memperkatakan mengenainya.

“Ketika dua pakaian terakhir, jika anda saksikan video di laman Facebook (FB) saya, anda dapat lihat yang saya berdepan kesukaran tetapi kami berjaya atasi untuk mencatat rekod ini,” kata Avery.

Pasangan yang berasal dari Kuala Lumpur itu mula melibatkan diri dalam silap mata membabitkan persalinan pakaian sejak lapan tahun lalu dengan kebiasaan membuat persembahan menyalin 12 pakaian.

“Sembilan belas pakaian adalah sangat sukar kerana untuk persembahan biasa kami selalunya buat 12 pakaian tetapi mula berlatih untuk 14 pakaian sejak lima tahun lalu.

“Pada waktu itu, rekod dunia hanya 13 pakaian dan kemudiannya rekod sering dipecahkan sehingga kami perlu meningkatkan persembahan kepada 19 pakaian,” katanya.

Untuk mencatat rekod itu, mereka berlatih sehingga lima kali sehari dengan menambah jumlah pakaian yang direka sendiri oleh isterinya mengikut peraturan yang ditetapkan Guinness World Records.

Avery yang juga pemegang Diploma Kejuruteraan Awam sudah berjinak-jinak dengan dunia silap mata sejak di bangku sekolah sebelum menyedari minatnya adalah membuat persembahan di atas pentas sehingga dijemput membuat persembahan serata dunia.

Antaranya di Amerika Syarikat, Jepun, Hong Kong, China termasuk di kapal persiaran mewah yang turut belayar ke Bahamas, Pulau Caribbean dan Bermuda.

Menurut laman web rekod dunia itu, Avery Chin dan Sylvia Lim memecahkan rekod dunia untuk kategori ‘Ilusi menyalin pakaian terbanyak dalam masa satu minit oleh individu’ dengan kelebihan dua pakaian.

Pengadil Guinness World Records, Charles Wharton hadir pada acara yang menghimpunkan ramai ahli silap mata pada hari berkenaan untuk memastikan semua peraturan dipatuhi.

Antaranya, setiap kali menukar persalinan, pakaian berkenaan mestilah berbeza dengan yang sebelumnya dan tiada sebarang ‘bukti’ pakaian terdahulu.

Rekod sebelum ini dengan 16 persalinan pakaian dalam masa seminit juga dipegang rakyat Malaysia iaitu kumpulan ahli silap mata Vivas Magic di Sunway Pyramid, beberapa minggu lalu.

Video persembahan pasangan itu yang dimuat naik di Facebook (FB) Guinness World Records setakat ini sudah ditonton hampir 9 juta kali.

Video berkenaan turut dikongsi sebanyak 110,780 kali oleh pelayar laman berkenaan dengan hampir 4,000 komen.

Image: 
Mazizul Dani

Kuala Lumpur: Dua rakyat Malaysia mencatat nama dalam Guinness World Records selepas berjaya membuat 18 pertukaran untuk 19 pakaian dalam masa satu minit.

19 pakaian 60 saat

| Berita penuh | Berita lain


Widget not in any sidebars

Nota: