Doa Syafi, rindu Syafi

Utama

am@hmetro.com.my

Besut: “Ya Allah…sembuhkanlah Syafi…Syafi nak pergi sekolah, Syafi rindu kawan-kawan.”

Itu doa Mohammad Syafi Mohd Syahrizan, 7, yang kini sedang menderita dan terlantar di rumahnya berikutan penyakit barah tulang yang dihidapinya sejak dua tahun lalu.

Bapanya, Mohd Syahrizan Ibrahim, 39, berkata anak kecil itu yang dahulunya sangat aktif bersukan dan peramah kini tidak mampu lagi bergerak.

Malah, katanya, hampir 80 peratus bahagian rahangnya mereput akibat dimakan sel barah itu.

“Sebelum ini, anak saya mendapatkan rawatan pakar di Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kuban Kerian, Kelantan, sebaik sahaja mendapat tahu Syafi dijangkiti barah ‘Infantile Fibrosarcoma’, dua tahun lalu.

“Namun, kesihatan Syafi makin merosot sejak Februari lalu dan rahang kiri yang dijangkiti ketumbuhan tersebut mereput sedikit demi sedikit sehingga menampakkan hampir keseluruhan rongga dalam mulutnya termasuk lidah dan tekak.

“Giginya turut luruh satu persatu dan kini hanya tinggal beberapa batang sahaja,” katanya, di sini, hari ini.

Mohd Syahrizan yang juga guru kaunseling di Sekolah Menengah Kebangsaan Tengku Mahmud, Besut, berkata doktor pakar juga menyatakan tiada lagi rawatan yang boleh diberikan kepada Syafi kerana barah yang dihidapi anaknya itu sudah di tahap kritikal.

Namun, setiap bulan beliau perlu membelanjakan kira-kira RM6,000 bagi menampung kos ubat-ubatan Syafi termasuk susu khas dan kain balutan atau ‘dressing’ bagi menutup luka di rahang Syafi.

Ibu Syafi, Norzuriana Madri, 38, yang juga guru, berkata walaupun harapan untuk Syafi sembuh hampir tiada, namun beliau adalah anak yang tabah dan jarang menunjukkan kesakitannya pada umum.

“Sepanjang dia menjalani tempoh rawatan kemoterapi hingga saat ini, tidak pernah sekalipun dia menangis, merintih atau merengek kepada saya tentang penyakitnya itu.

“Cuma sesekali dia akan menangis jika keinginannya tidak dipenuhi seperti mahu dibelikan mainan.

“Justeru, selagi termampu, selagi ada hayatnya kami akan cuba tunaikan permintaan beliau termasuk membawanya bersiar-siar ke Legoland di Johor Bharu, menaiki kereta bomba, berjumpa watak kartun kegemarannya iaitu Ultraman dan bertemu singa putih di Bukit Gambang, Pahang.

“Semoga dengan menunaikan hajat Syafi, sedikit sebanyak ia dapat mengurangkan kesedihan dan kesakitan yang dialaminya.

“Syafi juga pernah minta untuk memasak mi segera dan dihidangkan kepada kakak, abang dan adiknya. Ini membuktikan semangat juang Syafi sangat tinggi dan tidak mengalah walaupun sedang bertarung dengan penyakitnya,” katanya.

Kepada mana-mana pihak yang berhasrat untuk menghulurkan bantuan kewangan boleh salurkan di nombor akaun Maybank 563046317184, Mohd Syahrizan Ibrahim atau sebarang pertanyaan sila hubungi beliau di talian 013-9136662.

Image: 
BERNAMA

Besut: “Ya Allah…sembuhkanlah Syafi…Syafi nak pergi sekolah, Syafi rindu kawan-kawan.”

| Berita penuh | Berita lain


Widget not in any sidebars

Nota: