Penjara, denda, hilang kelayakan

Utama

izlaily@hmetro.com.my

Johor Bahru: Tukang masak dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

Hukuman itu dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah halang penjawat awam yang menjalankan tugas mengiringi konvoi Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar ke Mersing, minggu lalu.

Tertuduh, Nur Haslinda Abdullah, 29, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Mohd Azlan Shah Mohd Allias.

Ibu dua anak itu didakwa menghalang tugas Timbalan Ketua Polis Daerah II Johor Bahru Selatan, Superintendan M Kumar, di Kilometer 12 Jalan Tebrau menghala Kota Tinggi, 4.30 petang, 9 September lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau denda sehingga RM10,000 atau kedua-duanya, jika didapati bersalah.

Sementara itu, di mahkamah berasingan, tertuduh dihukum penjara sehari dan didenda RM5,000 selepas mengaku bersalah memandu melulu dan membahayakan orang awam di lokasi, masa dan tarikh yang sama.

Bagi perbuatan itu, dia yang tidak mempunyai lesen memandu itu didakwa mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Johor 1987 (Akta 333/87).

Mengikut fakta kes, tertuduh yang memandu Proton Gen2 didakwa menghalang laluan konvoi Sultan Johor itu.

Dia kemudian memecut keretanya dan enggan berhenti ketika diarahkan sehingga cuba melanggar motosikal pengiring konvoi berkenaan.

Difahamkan, tiba di satu tempat selepas dikejar polis, tertuduh mengundurkan keretanya walaupun ketika itu lalu lintas sesak.

Majistret Salina Omar kemudian menjatuhkan hukuman penjara sehari dan denda RM5,000 atau lapan bulan penjara jika gagal membayar denda berkenaan.

Tertuduh turut hilang kelayakan untuk memegang atau mendapatkan lesen memandu sehingga dua tahun.

Kedua-dua pendakwaan kes itu dijalankan Timbalan Pendakwa Raya Siti Asmah Zainal Ariffin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Image: 
Izlaily Nurul Ain Hussein

Johor Bahru: Tukang masak dipenjara lima bulan oleh Mahkamah Majistret, di sini, hari ini.

| Berita penuh | Berita lain


Widget not in any sidebars

Nota: