Uber Memulakan Kempen Sosial – Meminta Pengguna Tweet Kepada JPJ Dan SPAD

Pihak JPJ telah mengatakan sebelum ini yang mana akan mengambil tindakan terhadap pemandu Uber bermula 1 Oktober ini. Dengan berbaki kurang seminggu, kini Uber dilihat memulakan kempen sosial dan meminta pengguna menghantar Tweet kepada pihak JPJ dan SPAD.

Uber telah dilancarkan pada tahun lepas di Malaysia, dan baru-baru ini mereka telah memperkenalkan UberX – yang mana dilihat lebih mencabar perkhidmatan teksi tempatan. Perkara ini sekaligus menimbulkan ketidak-senangan dalam industri teksi – apatah lagi dengan pihak Uber yang tidak mematuhi beberapa perkara.

Melalui artikel yang diterbitkan di blog rasmi Uber, mereka mengatakan ingin memberikan lebih pilihan kepada pengguna, dan menawarkan pengangkutan yang lebih selamat kepada pengguna. Pada masa yang sama, Uber turut mengatakan mereka terbuka untuk berbincang dengan pihak kerajaan untuk membawa lebih banyak inovasi dan menawarkan persekitaran yang lebih selamat kepada pengguna di Malaysia.

UberX menjadi fokus utama kerana kenderaan peribadi digunakan sebagai kenderaan awam – yang mana merupakan salah satu kesalahan. Disamping itu, pengguna awam turut dikatakan tidak dilindungi insuran sekiranya menghadapi kemalangan dan sebagainya.

Ia sesuatu yang pelik kerana pihak Uber dilihat lebih terbuka untuk berbincang dengan kerajaan, dan tidak ingin mematuhi undang-undang dan peraturan yang telah ditetapkan oleh pihak berkuasa tempatan.

Walaupun terdapat ramai pemandu teksi yang membuat kesilapan, mungkin Uber boleh mengurangkan drama antara mereka dan pihak berkuasa dengan mematuhi pelbagai peraturan yang disediakan – sekaligus menawarkan pengguna tempatan dengan pilihan pengangkutan yang baik, dan pemandunya boleh menawarkan perkhidmatan tanpa sebarang masalah.

Nota: