Nokia Memperkenalkan Z Launcher Untuk Pengguna Android Dalam Bentuk Beta Terhad

Nokia yang kini telah menjual bahagian peranti mereka kepada Microsoft dilihat mempunyai beberapa projek menarik memfokuskan kepada perisian, dan terkini mereka memperlihatkan salah satu produk mereka yang masih dalam bentuk beta terhad.

Z Launcher berfungsi seperti beberapa launcher Android yang terdapat di pasaran hari ini, dimana ia mengoptimasikan skrin utama dan memperlihatkan aplikasi yang berkaitan mengikut masa pada sesuatu hari.

Seperti biasa, ia akan mempelajari cara penggunaan anda, dan memperlihatkan aplikasi berkaitan. Sebagai contoh, sekiranya anda sering membuka emel dan aplikasi berita, maka ia akan memperlihatkan aplikasi berkenaan pada skrin utama pada pagi hari, dan aplikasi yang berbeza pada malam hari.

Disamping itu, Z Launcher juga turut memudahkan anda membuat carian pada peranti, dimana anda boleh menulis terus pada skrin menggunakan jari anda. Anda hanya perlu menulis abjad pertama untuk sesuatu aplikasi, dan ia akan memperlihatkan semua aplikasi yang menggunakan abjad berkenaan.

Z Launcher ini dikatakan akan bertambah baik dari hari ke hari berdasarkan kepada penggunaan. Mungkin Nokia turut akan menambah beberapa fungsi lain pada Z Launcher ini pada masa akan datang, apatah lagi memandangkan mereka tidak terikat dengan sebarang platform seperti sebelumnya.

Untuk fasa pengenalan beta ini, ia masih ditawarkan secara terhad dimana bukan semua boleh memuat-turun dan menggunakannya. Z Launcher juga turut dilihat hanya dioptimasikan untuk Nexus 5, Galaxy S5, Galaxy S4, Galaxy S3, Moto X, HTC One dan Xperia Z1 sahaja buat masa ini.

Nota: