6 Telefon Empat Segi Yang Muncul Sebelum Blackberry Passport

Blackberry Passport dilancarkan dengan rasminya di Malaysia semalam. Telefon pintar terkini Blackberry ini mempunyai rekaan yang aneh kerana berbentuk empat segi. Rekaan ini dipilih kerana mengikut Blackberry, ini membolehkan emel dan mesej yang dibaca dengan lebih mudah. Peranti ini diharap dapat memulihkan imej Blackberry dan pada masa yang sama menjadi pilihan pengguna korporat. Masih terlalu awal untuk mengetahui sama ada Passport bakal mengembalikan zaman kegemilangan Blackberry. Adakah ada pasaran sekarang untuk peranti berbentuk empat segi tepat? Mari kita lihat enam peranti yang mempunyai reka bentuk yang seakan sama dengan Passport dan melihat sama ada ianya produk berjaya ataupun sebuah produk yang gagal.

LG Optimus Vu

LG-optimsu-Vu

Kita mulakan dengan LG Optimus Vu kerana ianya peranti pertama yang muncul di dalam batu jemala kami apabila pertama kali mendengar tentang ura-ura penghasilan Passport. Peranti ini mula dijual LG pada tahun 2012 sebagai pesaing kepada Galaxy Note. Kedua-duanya direka untuk digunakan bersama dengan sebuah stylus. Perbezaan di antara Note dan Vu ialah pada Vu tiada tempat simpanan terbina untuk stylus yang disertakan. Stylus yang disertakan bersama Vu juga dari jenis kapasitif dan bukannya Wacom seperti yang digunakan pada Note. Dari awal lagi terdapat beberapa masalah dalam penggunaan LG Vu. Masalah paling ketara ialah kekurangan sokongan untuk resolusi 768 x 1024 pixel skrin 5″ Vu. Apabila aplikasi dimuat turun anda mempunyai pilihan memaparkannya pada resolusi penuh skrin (nisbah 4:3)  ataupun melakukan letterboxing bagi memaparkan aplikasi seperti ianya digunakan pada skrin dengan nisbah skrin normal. Sokongan penambahbaikan juga agak lemah dengan sokongan kepada versi Android Jelly Bean hanya diberikan kepada pengguna di Korea Selatan. Adakah ianya produk yang gagal? Boleh dikatakan tidak kerana lebih dari sejuta unit Vu terjual di Korea Selatan. Pada tahun 2013 Optimus Vu 3 diperkenalkan di Korea Selatan. Setahu kami Vu 3 tidak memasuki pasaran tempatan dan mungkin peranti dengan skrin 4:3 hanya mendapat sambutan menggalakkan di negara Gangnam.


Microsoft Kin One

Microsoft-Kin-One

Kin One ialah sebuah lagi peranti berbentuk segi empat dengan skrin 2.6″ yang cuba membawakan sesuatu yang unik kepada pasaran peranti pintar. Ianya mula dijual pada bulan Mei 2010 dan kemudian dihentikan secara mendadak kurang dari 2 bulan selepas itu. Kin One mempunyai rekaan seperti seketul batu sungai. Seperti Passport, Kin One dilengkapi dengan sebuah papan kekunci fizikal. Kin One adalah peranti media sosial pertama di dunia dengan kemampuan memaparkan status terkini Twitter, Facebook dan MySpace secara terus muka hadapan peranti. Masalah utama Kin One ialah apabila ianya dilancarkan Microsoft sudah mula menumpukan segala usaha mereka untuk menghasilkan sistem operasi Windows Phone 7 yang lebih baik berbanding Kin OS yang digunakan Kin One. Kurang dari 10 000 peranti Kin One terjual sebelum pengeluaran dihentikan. Sungguhpun dianggap gagal beberapa fungsi yang ada pada peranti moden sekarang wujud terlebih dahulu pada Kin One. Sebagai contoh Kin One akan memuat naik gambar yang diambil terus ke storan awanan. Paparan status terkini pada muka hadapan kemudiannya menjadi Live Tiles pada sistem operasi Windows Phone.


BenQ Z2

benq-z2

Minggu ini BenQ melancarkan peranti pintar Android F5 dan T3. Kedua-dua peranti ini menandakan kemunculan semula Ben Q ke pasaran peranti mudah alih selepas kegalalan beberapa peranti di bawah penjenamaan Ben Q Siemens. Tetapi pada tahun 2005, BenQ juga berdosa kerana menghasilkan peranti yang bukan sahaja aneh tetapi langsung tidak mesra pengguna iaitu BenQ Z2. Ianya sebuah telefon berbentuk empat segi tepat dengan skrin 1.5″. Ia juga boleh berfungsi sebagai pemain muzik dengan kamera sebesar 1.5 Megapixel. Sekilas pandang ianya kelihatan seperti sebuah pemain MiniDisc (sebuah lagi produk gagal) yang pernah kami miliki ketika di kolej. Masalah utama BenQ Z2 ialah rekaan butang mendail yang tidak ortodoks dan tidak mesra pengguna. Kesemua butang mendail diletakkan di dalam 2 barisan dan ini bukan sahaja berbeza dari rekaan grid standard 3×4 yang biasa kita gunakan. Cuba bayangkan diri anda menaip sebuah SMS menggunakan kekunci aneh Z2.


Nokia X5-01

Nokia-X5-01

Nokia X5-01 muncul di pasaran ketika Nokia cuba memasuki pasaran telefon pintar sebenar dengan sistem operasi Symbian^3. Nokia X5-01 malangnya masih menggunakan Symbian Series 60 yang sudah berusia. Peranti ini mula dijual pada Jun 2010,2 bulan selepas Nokia N8 dengan Symbian^3 mula dijual. Saiz empat segi dipilih kerana apabila papan kekunci fizikal dibuka untuk digunakan saiz peranti tidak akan menjadi terlalu panjang dan menyukarkan untuk ianya digunakan.  Kami tidak tahun mengapa pada tahun 2010 peranti bersaiz empat segi dengan papan kekunci boleh disimpan sangat popular. Semestinya bukan kebetulan pengeluar peranti berlumba-lumba menghasilkan peranti dalam bentuk yang cukup aneh ini. Apa yang kami tahu X5-01 ialah peranti terakhir berbentuk empat segi tempat dengan papan kekunci QWERTY penuh boleh disimpan yang dihasilkan oleh Nokia. Pada waktu ini juga peranti E-Series yang juga mempunyai papan kekunci penuh lebih hangat jualannya jadi bolehlah kita membuat kesimpulan rekaan empat segi seperti X5-01 adalah rekaan yang gagal.


Alcatel OT-808

Alcatel-Ot-808

Sebelum  kami menulis artikel ini kami tidak pernah mengetahui kewujudan Alcatel OT-808 di muka bumi. Seperti Kin One dan Nokia X5-01 peranti ini juga diperkenalkan pada tahun 2010. Berbeza dari dua peranti tadi, OT-808 mempunyai pakai kekunci QWERTY yang boleh dilipat dan bukannya menggelongsor. Ia dilengkapi skrin 2.4″ dan apabila papan kekunci ditutup ianya kelihatan seperti bekas bedak muka wanita.Rekaan ini disengajakan kerana memang OT-808 disasarkan jualannya kepada kaum wanita. Tiada maklumat jualan yang berjaya kami temui tetapi Alcatel kemudian menghasilkan OT-810D pada tahun 2011 dengan rekaan yang hampir serupa. Selepas itu tiada lagi flip-phone dengan papan kekunci QWERTY dihasilkan oleh Alcatel sehingga sekarang.


Motorola Flipout

Motorola-FLIPOUT

Akhir sekali ialah Motorola Flipout yang mempunyai skrin empat segi  2.8″. Seperti majoriti peranti empat segi yang kami paparkan di dalam artikel ini, Flipout juga muncul pada tahun 2010. Ia menggunakan sistem operasi Android Eclair dengan pemproses 600 MHz.  Sesuai dengan namanya, Flipout dilengkapi papan kekunci fizikal yang boleh berputar apabila ingin digunakan. Walaupun dilengkapi papan kekunci yang agak baik kelemahan Flipout terletak pada pemproses yang perlahan. Skrin yang kecil juga tidak lagi memandai pada waktu ini kerana Samsung Galaxy S I yang dijual 3 bulan sebelum Flipout dilengkapi skrin sebesar 4″.

 


Hanya satu daripada enam peranti yang kami paparkan di atas boleh dikategorikan sebagai peranti berjaya dan itupun hanya terjual di pasaran Korea Selatan. Rata-rata peranti bersaiz empat segi yang pernah dihasilkan terkubur begitu sahaja. Pada pandangan kami Blackberry Passport mempunyai kemampuan untuk berjaya kerana kombinasi spesifikasi yang baik dan jenama Blackberry yang masih gah di sektor korporat. Namun harus kita ingat peranti bersaiz tidak konvensional seperti Passport tergulung di dalam kategori niche yang hanya digemari sekumpulan kecil pengguna. Tiada petunjuk yang menunjukkan peranti dengan form factor seperti passport akan menambat hati pengguna.

Namun harus diingat pada tahun 2011 Samsung memperkenalkan Galaxy Note dengan skrin bersaiz 5.3″. Kami masih ingat ulasan dari pelbagai laman teknologi popular barat yang mentertawakan Samsung kerana menghasilkan peranti “yang tidak diperlukan pasaran”. Tiga tahun berlalu dan laman teknologi yang sama kini memuji Apple kerana menghasilkan peranti dengan skrin bersaiz besar. Hanya masa akan menentukan sama ada rekaan Passport akan menjadi ikutan ramai ataupun akan terkubur seperti rekaan 6 peranti yang hadir sebelumnya ini.

Nota: