6 Fungsi Yang Masih Tiada Pada iPhone 6 Dan iPhone 6 Plus

Apabila diperkenalkan pada tahun 2008, iPhone membawa pembaharuan kepada rekaan telefon bimbit dunia. Kombinasi skrin sesentuh dan sistem operasi mobil Apple menjadi ikutan kesemua pengeluar peranti dunia. Tidak mengejutkan pernah suatu ketika Apple menggondol lebih dari 60% pasaran peranti pintar dunia pada tahun 2009. Sejak dari hari itu, pengeluar lain menghasilkan pelbagai peranti yang mahu dinobatkan sebagai iPhone killer. Inovasi seperti skrin lebih besar, resolusi skrin lebih tinggi dan fungsi NFC adalah beberapa fungsi yang tidak dipelopori Apple. Tahun ini menandakan tahun ke 7 iPhone muncul di pasaran dan malang sekali model terkini iPhone6/6 Plus yang baru diumumkan pagi tadi masih ketinggalan di dalam beberapa penggunaan teknologi berbanding pesaingnya di pasaran. Di bawah senarai 6 fungsi yang masih BELUM ada pada peranti iPhone sehingga sekarang.

nfc-tnsNFC Untuk Berkongsi Fail

Akhirnya sebahagian fungsi NFC disokong oleh iPhone 6, 6 Plus dan Apple Watch. Apple Wallet dikatakan bakal merevolusikan dunia tanpa dompet di masa terdekat. Apa yang sedikit mengecewakan ialah fungsi berkongsi foto secara NFC tidak disokong buat masa ini. Peranti Android, Windows Phone dan Blackberry 10 boleh berkongsi gambar dengan menggunakan teknik sentuhan NFC tanpa masalah. Tetapi iPhone masih belum mahu menyokong cara berkongsi gambar paling mudah di antara peranti pelbagai sistem operasi ini. Mungkin Apple ialah bangsa terpilih yang kesuciannya bakal terancam sekiranya bersentuhan dengan peranti bukan IOS. Kami tidak tahu mengapa fungsi ini tidak disokong walaupun penggunaannya kini sudah meluas pada peranti lain. Tetapi ini tidak mengejutkan kerana sehingga sekarang perkongsian menggunakan Bluetooth dengan peranti bukan IOS juga masih bermasalah. Jika masalah yang sudah bertahun lamanya wujud ini masih belum diselesaikan, kami merasakan perkongsian secara NFC antara peranti berbeza sistem operasi hanya akan disokong Apple 12S muncul di pasaran di masa hadapan.

retinasResolusi Skrin QHD

Semasa kami mula berjinak dengan telefon mudah alih, resolusi skrin telefon pertama kami (Nokia 3210) ialah  84×48 pixel. Lima belas tahun sudah berlalu dan di tangan kami sekarang kami memegang sebuah Oppo Find 7 dengan skrin beresolusi 1140×2560 pixel. Dalam masa 15 tahun jumlah pixel pada skrin telefon mudah alih meningkat sebanyak 723 kali ganda. Oppo bukanlah nama yang gah dalam dunia telefon pintar tetapi jika mereka boleh menghasilkan peranti berskrin QHD, mengapa Apple masih berkeras dengan 750P pada iPhone 6 dan 1080P pada iPhone 6 Plus. Pernah suatu ketika kepadatan pixel dan skrin resolusi tinggi ialah dua ciri yang akan diketengahkan bagi menunjukkan kehebatan iPhone. Keputusan tidak menggunakan skrin beresolusi lebih tinggi semakin aneh apabila anda menyedari iPad Air dan iPad Mini kedua-duanya mempunyai skrin beresolusi 2048×1536 pixel. Mereka sudahpun mempunyai kepakaran menghasilkan peranti dengan resolusi tinggi sebelum ini. Jadi mengapa tidak digunapakai pada iPhone terkini?

Terdapat dua sebab yang boleh kami fikirkan mengapa Apple enggan menerjah ke alam QHD. Pertama sekali ialah penggunaan bateri yang lebih tinggi pada skrin QHD. Bateri iPhone adalah antara yang terkecil jika dibandingkan dengan peranti setandingnya. Jangka hayat iPhone yang ada sekarangpun tidak memuaskan. Dengan penggunaan skrin beresolusi QHD pastinya jangka hayat bateri akan menjadi semakin teruk. Sebab kedua mengapa QHD tidak digunakan pada peranti terkini ialah ia akan mewujudkan masalah pemecahan (fragmentation) yang sinonim dengan peranti Android.

 

Screenshot_4KKemampuan Video 4K

Telefon pintar yang mampu mengambil video pada resolusi 1080P HD Penuh sudah wujud di pasaran sejak 2011. Fungsi rakaman HD penuh diperkenalkan pada peranti IOS pada tahun yang sama dengan pada iPhone 4S. Tiga tahun sudah berlalu dan rakaman pada resolusi ini sudah menjadi kebiasaan dan peranti kelas tertinggi di pasaran kini harus mempunyai fungsi rakaman 4K. Telefon pintar pertama dengan fungsi rakaman 4K ialah Samsung Galaxy Note 3 yang muncul tahun lalu.

Tahun ini kesemua peranti kelas tertinggi Android yang akan muncul di pasaran juga mempunyai fungsi rakaman resolusi UHD ini.Kedua-dua iPhone 6 dan 6 Plus nampaknya masih kekal dengan 1080P. Pembaharuan berbanding iPhone 5S ialah kali ini ia mengambil video pada kadar 60 frame sesaat berbanding hanya 30 sebelum ini. Apple sering dikaitkan dengan peneraju inovasi dan pemangkin penggunaan teknologi terkini di dalam setiap produk keluaran mereka. Ketiadaan sokongan rakaman 4K adalah agak mengejutkan kerana ianya antara fungsi yang dikatakan bakal disokong. Apakah sebab rakaman pada resolusi tinggi ini tidak disokong tidak kami ketahui. Tetapi kami merasakan sebabnya mungkin akan terjawab di bawah.

SD-cardSokongan Kad MikroSD

Merakam video pada resolusi 4K akan mengambil ruang yang amat besar. iPhone 6/6 Plus seperti model-model iPhone sebelum ini tidak menyokong penambahan memori dalaman menggunakan kad MikroSD. Secara peribadi kami sendiri merasakan muatan dalaman 16 Gigabyte kini tidak lagi mencukupi. Oleh sebab itu sokongan kad MikroSD kini adalah keperluan bagi kami. Saiz kad MikroSD yang semakin murah juga membuatkan anda tidak perlu lagi membeli peranti dengan saiz muatan besar pada harga premium.  Kenapa tiada sokongan kad MikroSD pada peranti iPhone sehingga sekarang? Sekali lagi terdapat dua teori utama di kalangan pengguna. Teori pertama ialah teori konspirasi di mana Apple tidak mahu anda memiliki iPhone dengan kapasiti kecil. Jika anda mahukan iPhone berkapasiti besar anda perlu membeli model dengan muatan dalaman besar sejak hari pertama. Teori kedua pula ialah slot untuk kad MikroSD memerlukan penambahan slot pada bahagian tepi peranti. Steve Jobs terkenal dengan kegilaan rekaan yang paling minimalis dan kemas. Kewujudan panel tambahan untuk meletakkan slot kad MikroSD dikatakan akan merosakkan estetik minimalis dan kemas yang Steve Jobs mahukan. Kedua-dua teori ini tidak dapat disahkan kerana adalah teori yang dikemukakan oleh pengguna. Tetapi apa yang pasti ketiadaan sokongan kad MikroSD adalah antara penyebab mengapa ada beberapa teman-teman kami berpindah kepada Android.

Bo3jLT-CQAMTncT-(1)Pengecasan Pantas

Pengecasan pantas diperkenalkan oleh Oppo pada Find 7. Dalam masa 30 minit bateri Find 7 boleh dicas sehingga 75%. Samsung juga memperlihatkan fungsi pengecasan pantas ini pada Note 4 dengan kemampuan mengecas sehingga 50% dalam masa yang sama. Fungsi pengecasan pantas ini perlu kerana  pergantungan kita kepada peranti yang semakin tinggi. Menanti peranti mengecas sepenuhnya ialah antara perkara yang paling tidak kita gemari. Walaupun mempunyai skrin FHD sebesar 5.5″, iPhone 6 Plus hanya mempunyai bateri yang dilaporkan sebesar 2915 mAh. iPhone 6 pula mempunyai bateri sebesar 1810 mAh. Kapasiti kedua-dua peranti ini adalah lebih kecil berbanding pesaing dan kami yakin hayat baterinya pasti mengecewakan. Masalah kapasiti bateri yang kecil ini adalah sangat ketara di Malaysia yang mempunyai rangkaian selular yang tidak stabil. Sudah tiba masanya teknologi pengecasan pantas diguna pakai oleh bukan sahaja Apple malahan kesemua pengeluar peranti pintar. Jika teknologi kapasiti bateri tidak mampu diperbaiki, sekurang-kurangnya gunakanlah teknologi pengecasan kilat yang sudah sedia untuk digunakan secara meluas.

Xperia-Z1-WaterProofKalis Air Dan Debu

Peranti pintar dari keluarga Xperia Z Sony masih mengungguli carta peranti paling kalis air dan debu di pasaran. Setelah menggunakan peranti kalis air dan debu kami tidak boleh lagi menggunakan peranti biasa. Tiada lagi kerisauan peranti rosak akibat terjatuh ke dalam lubang tandas (pernah berlaku 2 kali) ataupun rosak akibat aktiviti lasak di luar. Dengan Xperia Z3, Sony memperincikan lagi sistem kalis air dan debu mereka yang kini meningkat ke tahap IP68. Dalam pelbagai artikel yang kami baca mengenai ciri yang bakal muncul pada iPhone 6, tidak ada satupun menyentuh tentang ketahanan air dan debu. Kami merasakan sebagai peranti yang dijual pada harga premium ketahanan air dan debu seharusnya sudah menjadi ciri biasa.

Sony Xperia Z3 menunjukkan bahawa sebuah peranti tahan air kini bukan sahaja nipis (7.1 mm iaitu hanya 0.2 mm lebih tebal daripada iPhone 6) tetapi mempunyai rekaan yang sedap mata memandang. Sebelum Xperia Z memasuki pasaran, telefon kalis air dan debu Sony Ericsson Xperia Active mempunyai ketebalan melebihi 16 milimeter. Jadi mengapa Apple masih belum mahu menghasilkan iPhone tahan dan debu?

Jawapannya mungkin kerana ketika hayatnya Steve Jobs gagal mencari penyelesaian masalah ini . Sejak kematian beliau Apple tidak lagi mampu berinovasi dan kini ketinggalan di belakang. Sebuah kenyataan yang agak pedas bunyinya tetapi apa yang kami sedari sejak ketiadaan Steve Jobs jelas sekali Apple tidak mempelopori penggunaan teknologi terkini. Walaupun kami penggemar Android, apa yang berlaku kepada Apple sekarang adalah menyedihkan dan merugikan kepada industri peranti pintar. Diharap dengan hadirnya Marc Newson membantu Sir Jony Ive, produk Apple selepas ini akan kembali dengan teknologi terkini dan inovasi yang mengagumkan.

 

 

 

 

Nota: