10 Pembaharuan Surface Pro 3 Berbanding Surface Pro 2

Surface Pro 2 masih belum muncul di pasaran Malaysia dan semalam Surface Pro 3 pula diperlihatkan kepada umum. Adakah kemunculan iterasi terkini Surface ini membuatkan Surface 2 tidak lagi relevan di pasaran? Adakah anda perlu memadamkan impian membeli Surface Pro 2 dan nantikan sahaja Surface Pro 3? Di bawah ialah senarai beberapa pembaharuan dan perbezaan Pro 3 berbanding Pro 2. Mungkin ini dapat memudahkan anda melakukan pemilihan model Surface manakah yang lebih sesuai dengan keperluan anda.

1. Saiz Skrin dan Resolusi

Surface Pro 3 mempunyai skrin yang lebih besar berbanding dengan model-model sebelumnya. Saiz skrin kini adalah 12 inci berbanding hanya 10 .6 inci sebelum ini. Penambahan saiz skrin juga didatangi dengan penambahan saiz resolusi. Pro 2 mempunyai resolusi 1080P manakala Pro 3 mempunyai resolusi 2160 x 1440 pixel. Ini bermakna skrin Pro 3 adalah setanding dengan skrin sebuah Samsung Galaxy Note Pro 12.2.

 Pro-3-FDront

2. Nisbah Saiz Skrin

Perbezaan ketara antara Pro 3 dan Note Pro 12.2 ialah nisbah skrin. Nisbah skrin Pro 2 dan Note Pro 12.2 ialah 16:9 manakala nisbah skrin Pro 3 ialah 3:2. Ini memudahkan anda memegang Pro 3 pada kedudukan potret.  Ini membuatkan Pro 3 lebih hampir menyerupai skrin sebuah iPhone 4S berbanding tablet-tablet yang ada di pasaran sekarang. Untuk pengetahuan anda nisbah skrin iPad Air ialah 4:3 manakala untuk iPhone 5/5S pula ialah 71:40.

pro-ratioas

3. Lebih Nipis

Sungguhpun mempunyai skrin yang lebih besar, Pro 3 adalah lebih nipis berbanding Pro 2.  Ketebalannya ialah 9.1 mm berbanding Pro 2 dengan ketebalan 13 mm.  Perbezaan sebanyak 30 peratus. Ini adalah jumlah pengurangan yang ketara kerana Pro 3 kini sama tebal dengan sebuah Surface 2 (8.9 mm).

 Pro-3-thickness

4. Kedudukan Baru Butang Kapasitif

Butang home kapasitif kini terletak di tepi sebelah kanan Pro 3 dan tidak lagi pada bahagian bawah pada versi Surface sebelum ini. Kedudukan baru ini dipilih kerana pihak Microsoft mahu Pro 3 digunakan pada kedudukan potret dengan lebih mudah. Sebagai pengguna Surface 3 dan Note Pro kami akui kedudukan butang pada bahagian bawah seperti yang diguna sekarang menyukarkan penggunaan pada kedudukan potret. Kebanyakan penggunaan tablet kami ada pada kedudukan ini kerana ianya paling selesa untuk melayar laman sesawang. Telapak tangan kami kerap tertekan butang kapasitif apabila memegang peranti pada kedudukan potret. Kedudukan butang home Pro 3 ini amat kami alu-alukan kerana ianya lebih masuk akal pada hemat kami.

pro-3kapasitif

5. Lebih Ringan

Walaupun mempunyai saiz skrin yang 23.4% lebih besar, Pro 3 adalah 11.8% lebih ringan berbanding Pro 2. Berat Pro 3 kini hanya 800 gram berbanding Pro 2 yang seberat 907 gram.

Pro-3-Berat

6. Penyangga Belakang

Penyangga belakang (Kickstand)  Pro 3 kini boleh ditetapkan pada mana-mana kedudukan mengikut kehendak pengguna. Sebelum ini penyangga belakang hanya boleh ditetapkan pada dua kedudukan iaitu menegak dan menaip di atas peha. Pada kedudukan paling rendah, penyangga belakang Pro 3 membolehkan pengguna melakar pada skrin peranti menggunakan Surface Pro Pen dengan mudah. Ini mengingatkan kami kepada skrin boleh laras yang ada pasa Asus Aspire R7.

surface pro 3 pemyangga

7. Surface Pro Pen  : Bukan Lagi WACOM

Surface Pro Pen kini tidak lagi bersambung secara magnetik pada bahagian sisi Pro 3. Pada model tahun lalu ianya disambung terus kepada port pengecas Pro 3 apabila tidak digunakan. Terdapat juga butang pada bahagian belakang Pro Pen yang apabila ditekan melancarkan aplikasi One Note secara terus walaupun ketika Pro 3 di dalam sleep mode. Teknologi stylus dan digitiser N-Trig Technologies digunakan dan bukan lagi dari Wacom. Menurut beberapa laporan yang kami baca pagi ini teknologi N-Trig adalah lebih pantas dan memberikan kelajuan serta perasaan menulis yang lebih menyerupai seperti menggunakan pen sebenar. Selain itu Pen Pro baru ini juga dilengkapi 2 butang dan bukannya satu seperti model sebelumnya. Tahap kepekaan Pro Pen baru ini walau bagaimanapun diturunkan dari 1024 tahap kepada hanya 246 tahap. Seperti Pro 2, Surface Pro Pen baru ini disertakan sekali untuk setiap pembelian Pro 3.

pro-3-pen

8. Kamera

Kamera hadapan dan belakang Pro 3 kedua-duanya dilengkapi sensor 5 Megapixel. Ini adalah jauh lebih baik dari kamera 1.2 Megapixel pada Pro 2. Penambahbaikan kamera ini sudah lama dimahukan pengguna Surface kerana kamera pada Pro 2 bukan tidak memandai dan mengambil gambar pada kualiti yang kurang memuaskan. Kedua-dua kamera Pro 3 juga kini boleh mengambil video 1080P berbanding hanya 720P pada model sebelumnya.

Pro-3-camera

9. Papan Kekunci Baru

Dua pembaharuan diberikan kepada papan kekunci Pro 3. Pertama sekali touch pad yang lebih peka kepada sentuhan digunakan. Bahan binaannya juga berbeza berbanding versi sebelumnya. Jelas kelihatan ianya kini menggunakan bahan lebih licin dan bukan berbulu. Papan kekunci ini juga boleh dilipat secara magnetik ke bahagian depan Pro 3 membolehkan ianya dinaikkan sedikit dari kedudukan rata sebelum ini. Menurut Microsoft ini memberikan lebih keselesaan menaip apabila digunakan pada kedudukan duduk.

pro-3-keyboard

10. Pelbagai Pilihan Pemproses

Terdapat versi Intel Core i3, i5 dan i7 untuk Pro 3. Kesemuanya menggunakan cip dari keluarga Haswell dan bukannya Broadwell yang dinanti-nantikan. Ini sedikit mengecewakan kerana jika Pro 3 menggunakan Broadwell ianya pasti memberikan saingan kepada Macbook Air yang juga masih menggunakan Haswell.  Surface Pro 2 hanya dilengkapi pemproses i5.

pro-3-pilihan

 

 

 

Nota: