Ulasan : Sony Xperia T2 Ultra

 

Tahun lalu Xperia Z Ultra diperkenalkan dan ianya merupakan phablet terbesar yang pernah kami ulas di makmal peranti Amanz. Peranti dengan skrin 6.4″ itu dilengkapi dengan pemproses setanding dengan Xperia Z1 tetapi ianya dicacatkan dengan kemampuan optik yang sangat mengecewakan. Kamera utama 8 Megapixel tanpa sokongan flash Z Ultra dan harga yang terlalu mahal membuatkan ianya bukan peranti pilihan kebanyakan pengguna yang mahukan phablet dengan saiz skrin melangkaui 6 inci. Xperia T2 Ultra ialah usaha Sony bagi memperbaiki kesilapan strategi mereka ketika menghasilkan Z Ultra. Mereka akhirnya menyedari kemampuan kamera dan flash masih penting bagi penggemar phablet. Penghasilan Z Ultra sebagai “peranti menonton media” semata-mata jelas tidak memenuhi kehendak majoriti pengguna.

Sony Xperia T2 Ultra
Pemproses1.4 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM1 GB
Muatan Dalaman8 GB dengan sokongan kad MikroSD
Kamera13.3 MP dengan flash
Skrin6.0″ Triluminos (720P)
Bateri3000 mAh

Jadi apakah yang membezakan T2 Ultra dengan Z Ultra. Pertama sekali pemproses kelas sederhana digabungkan dengan skrin 6″ Triluminos dengan resolusi 720P. Nyata sekali T2 Ultra bagi Sony adalah seperti Galaxy Mega untuk Samsung. Sebuah peranti gergasi dengan spesifikasi sederhana. Jika Ultra diperkasakan dengan pemproses 2.2 GHz empat teras Snapdragon 800. T2 Ultra hanya diperkasakan pemproses 1.4 GHz empat teras Snapdragon 400.

Sekilas pandang ianya kelihatan seperti sebuah Z Ultra yang dikecilkan. Tetapi sebenarnya perubahan pada T2 Ultra adalah lebih drastik. Tidak seperti kesemua keluarga Xperia yang dikeluarkan sejak 2 tahun yang lalu, T2 Ultra tida kalis air ataupun debu. Panel kad SIM dan slot kad Mikro SD tidak tertutup kedap. Paling ketara slot pengecas Mikro USB peranti ini juga terbuka. Ini adalah sedikit mengecewakan pada pendapat kami kerana Sony kini mendahului pasaran peranti pintar yang kilas air dan debu. Oleh sebab itu juga port pengecas menggunakan docking station yang ada pada Z, Z1, Z2 dan Z Ultra tidak ada pada bahagian tepi peranti ini.  Apa yang dikekalkan ialah rekaan butang Omni-balance dan butang khas untuk kamera pada sisi kanan peranti. Seperkara lagi yang membezakan T2 Ultra dengan keluarga Xperia sebelum ini ialah pembesar suara yang kini terletak pada bahagian belakang dan bukannya pada sisi sebelah kanan. Pembesar suara yang lebih besar ini juga memberikan lontaran bunyi yang lebuh kuat dan lantang. Walau bagaimanapun ianya masih pembesar suara mono dan bukannya stereo.

Panel belakang T2 Ultra diperbuat daripada plastik dan bukannya kaca tertempa yang sinonim dengan siri Xperia sejak kebelakangan ini. Penggunaan bahan plastik ini membuatkan T2 Ultra terasa amat ringan. Biasanya kami akan memberikan markah negatif kepada peranti dengan panel belakang plastik. Tetapi di dalam kes T2 Ultra panel belakang plastik ini lebih selesa dipegang berbanding panel kaca tertempa.

Pada panel belakang ini juga ditempatkan kamera sebesar 13 Megapixel dengan flash. Kamera ini mampu mengambil video pada resolusi 1080P. Tiada sokongan merakam video 4K ataupun pergerakan perlahan kerana kekurangan kuasa memproses Snapdragon 400. Akhir sekali sensor NFC juga terletak pada panel belakang ini.

Antaramuka


Xperia T2 Ultra masih menggunakan binaan Android 4.3 Jelly Bean. Tiada perbezaan estetik pada rekaan antaramuka peranti ini berbanding Xperia Z1. Navigasi dilakukan dengan menggunakan 2 butang pada skrin. Butang home diapit butang back pada bahagian kiri dan butang multi tasking pada bahagian kanan. Menu Google Now diaktifkan dengan menekan butang home untuk beberapa saat.

Kerana ianya masih binaan Jelly Bean, masih tiada butang menutup kesemua aplikasi sekaligus pada skrin multi tasking. Anda perlu menutup aplikasi secara satu persatu. Fungsi penutupan secara pukal ini hanya wujud selepas kemasan Kit Kat. Kami difahamkan T2 Ultra hanya akan menerima kemasan 4.4.2 pada pertengahan Julai ini. Kami merasakan penggunaan Jelly Bean pada sebuah peranti yang diumumkan pada bulan Januari 2014 adalah tidak masuk akal. Android versi Kit Kat diumumkan pada bulan Oktober 2013. Kenapa T2 Ultra tidak menggunakan sistem operasi yang terkini?

Sebuah fungsi baharu yang kami sedari ada pada T2 Ultra ialah apabila butang home ditekan sebanyak dua kali dengan pantas. Talam notifikasi akan terbuka secara automatik dengan butang-butang pintasan pantas akan tersusun pada bahagian bawah skrin. Ini memudahkan jari anda menekan butang yang sebelum ini terletak pada bahagian atas skrin. Skrin T2 Ultra adalah besar dan kedudukan butang di bahagian atas ini adalah tidak mesra pengguna. Fungsi baharu ini sedikit sebanyak memudahkan anda untuk mengaktifkan WiFi HotSpot ataupun NFC dengan menggunakan sebelah tangan. Aneh sekali fungsi ini tidak pula disertakan pada Xperia Z Ultra selepas kemasan Kit Kat. Kami rasakan fungsi ini amat diperlukan pemilik Z Ultra kerana skrinnya yang jauh lebih besar dan oleh itu sukar untuk menggunakannya dengan hanya sebelah tangan.

Sepanjang tempoh ulasan kami tidak menemui sebarang masalah besar. Tiada masalah skrin enggan hidup semula sehingga memerlukan kami melakukan hard reset seperti yang kami alami ketika menggunakan Xperia Z1 dahulu. Aplikasi berjalan dengan baik dan cukup lancar. Apa yang sedari ialah kelajuan menukar aplikasi dan tatalan tidak teralalu lancar. Ini adalah sesuatu yang kami duga sejak awal lagi kerana peranti ini hanya dilengkapi RAM sebanyak 1 Gigabyte sahaja dan menggunakan pemproses kelas sederhana.

Pada penggunaan yang lama kami tidak menghadapi masalah peranti menjadi panas. Kami menggunakan aplikasi Waze untuk memandu sekitar Kuala Lumpur dan peranti ini tidak mengalami masalah kepanasan  yang kami sedari muncul pada peranti Xperia lain yang pernah kami ulas.

 

Kamera

Kamera dengan sensor sebesar 13.1 Megapixel digunakan pada T2 Ultra. Gambar yang diambil adalah memuaskan terutamanya pada situasi gelap. Kesemua fungsi asas aplikasi kamera Xperia ada pada T2 Ultra kecuali fungsi rakaman 4K dan pergerakan perlahan yang diperlihatkan pada Xperia Z2.  T2 Ultra mempunyai butang kamera khas pada bahagian kiri peranti yang memudahkan proses melancarkan aplikasi kamera dan menangkap gambar. Sungguhpun begitu kami sedari tempoh masa yang diambil untuk mengambil gambar adalah sedikit perlahan pada phablet ini. Ianya tidak sepantas Z1, Z2 dan Z Ultra. Ini kami rasakan adalah had kuasa memproses Snapdragon 400 yang digunakan. Sekiranya anda ingin mengambil gambar objek yang sedang bergerak, gambar yang diambil kerap kali kabur dan terlepas apa yang ingin anda rakamkan.

Kami membandingkan gambar yang diambil T2 Ultra dengan dengan gambar dari Oppo N1. Ini adalah kerana saiz sensor yang serupa dan Oppo N1 menggunakan sensor buatan Sony.

Apa yang kami sedari sekilas pandang ialah penghasilan semula warna pada T2 Ultra adalah lebih semula jadi berbanding N1. Kesemua foto dari N1 mempunyai warna yang lebih panas dan kekuningan.  Ini dapat dilihat pada foto lobi hotel di bawah di mana dinding marmar berwarna putih kini berwarna kuning.

Pada situasi gelap gambar yang diambil T2 Ultra adalah agak baik. Tiada masalah grainy dan dedahan gambar juga baik. Bandingkan sahaja gambar T2 di bawah dengan N1 yang pernah kami katakan mempunyai masalah dedahan berlebihan yang sangat ketara.

Sebuah lagi gambar di lobi wayang dengan pencahayaan yang cukup terang.  Sekali lagi T2 Ultra mengambil gambar yang jauh lebih baik.

Ini pula gambar potret dari jarak dekat. Keperincian gambar yang diambil pada resolusi tertinggi adalah baik. Warna gambar juga hidup dan menghampiri warna asal subjek yang diambil.

Akhir sekali gambar yang diambil pada kawasan lapang pada waktu tengahari. Tiada masalah dedahan berlebihan dan sekali lagi penghasilan warna yang baik.

Kesimpulan

Gambar yang diambil menggunakan phablet ini adalah cukup baik dan selari dengan majoriti peranti keluarga Xperia yang pernah kami ulas. Mod automatik sudah memandai untuk mengambil gambar yang cantik yang boleh dikongsi pada laman sosial tanpa masalah. Masalah yang wujud hanyalah tempoh masa yang diambil untuk mengambil gambar. Kelemahan pada pemproses membuatkan anda harus menunggu lebih kurang setengah saat sebelum gambar ditangkap. Jika anda bergerak foto yang diambil akan menjadi agak kabur.

Penanda Aras

Berikut adalah markah yang dicatatkan apabila kami melakukan ujian penanda aras pada Xperia T2 Ultra.  Seperti yang dijangkakan pemproses 1.4 GHz empat teras Snapdragon 400 peranti ini memberikan kemampuan yang rendah berbanding phablet -phablet lain yang pernah kami ulas kecuali Alcatel One Touch Hero. One Touch Hero menggunakan pemproses Mediatek yang sudah terkenal dengan kelemahannya.

Pada ujian harian kami sedari ada sedikit masalah sela masa ketika tatalan skrin dilakukan terutamanya jika anda membuka lebih daripada 6 aplikasi serentak. Kadang kala kami harus menunggu beberapa saat sebelum kesemua elemen pada skrin dapat dipaparkan secara penuh. Tetapi sekiranya anda hanya mahu menggunakan T2 Ultra hanya sebagai pemain media, melayar web dan menggunakan aplikasi media sosial ianya cukup memandai. Hanya perlu sedikit bersabar dengan sela masa yang berlaku kerana kombinasi pemproses yang sudah berusia dan jumlah RAM yang 3 kali lebih kecil dari peranti terkini di pasaran.


Bateri

Pada penggunaan paling ringan T2 Ultra mampu bertahan selama 26 jam. Pada penggunaan paling berat pula ia mampu bertahan sehingga hampir 9 jam. Ujian penggunaan berat dilakukan dengan penggunaan 100% data dari syarikat telekomunikasi dan bukannya WiFi. Kami tidak tahu mengapa pada rakaman skrin di bawah palang WiFi ditunjukkan aktif. Tempoh hayat bateri adalah setanding dengan majoriti peranti yang ada di pasaran sekarang. Namun begitu kami sebenarnya berharap hayat bateri adalah lebih panjang kerana T2 Ultra menggunakan pemproses berkuasa rendah dan skrin bukan HD penuh.

Kesimpulan

Xperia T2 Ultra ialah phablet kelas pertengahan dengan spesifikasi 3 generasi kebelakang. Dari segi binaan juga ia tidak seperti keluarga Xperia yang lain kerana mempunyai panel belakang diperbuat daripada plastik.  Beberapa perkara yang kami sukakan pada peranti ini ialah ianya ringan bagi peranti dengan skrin 6″. Ianya juga mempunyai kualiti binaan yang baik dan kemas. Lokasi butang kuasa dan suaranya sangat ergonomik. Tidak seperti kebanyakan peranti yang kami uji di makmal peranti Amanz, T2 Ultra tidak mempunyai masalah mudah panas ketika digunakan. Ia mampu berfungsi dengan baik tanpa sebarang masalah besar asalkan ianya dihadkan kepada penggunaan biasa seperti melayari web dan mengambil gambar. Kami agak terkilan T2 Ultra bukanlah peranti kalis air dan debu.

Kualiti gambar juga cukup baik bagi kamera sebesar 13 Megapixel.  Penghasilan warnanya bagus dan kamera dilengkapi pelbagai fungsi tambahan yang boleh ditambah dengan memuat turun pemalam dari pihak Sony. Kekurangan adalah pada sela masa diambil untuk mengambil gambar. Ianya tidak sepantas model lebih premium Xperia.

Kemampuan memproses adalah sederhana kerana menggunakan pemproses Snapdragon 400 yang sudah berusia. Untuk kegunaan biasa ia boleh berfungsi dengan baik tetapi apabila perbagai aplikasi dilancarkan secara serentak had RAM yang hanya 1 Gigabyte mula kelihatan. Melakukan penukaran aplikasi mengambil beberapa ketika dan tidak serta merta.

Akhir sekali kemampuan bateri adalah setanding majoriti peranti yang ada di pasaran. Ketahanan sehingga 26 sekiranya pada penggunaan ringan dan hanya 9 jam pada penggunaan paling berat.

Xperia T2 Ultra ialah phablet 6″ Sony yang cuba menerjah pasaran phablet mampu milik. Ianya masih jauh dari segi kemampuan jika dibandingkan dengan Z Ultra yang muncul tahun lalu. T2 Ultra ialah peranti kelas pertengahan, dengan spesifikasi pertengahan dan harga pertengahan. Jika ini yang disasarkan ianya berjaya memenuhi kesemua kriteria di atas dengan jayanya.

PRO dan Kelebihan
  • Kualiti binaan yang baik. Panel plastik di belakang mungkin tidak sebagus panel kaca model Xperia yang lebih mahal tetapi ianya masih selesa dipegang
  • Kemampuan kamera yang baik untuk peranti bersensor 13 Megapixel. Keperincian imej dan penghasilan semula warna yang memuaskan.
  • Butang khas untuk kamera memudahkan pengendalian dan melancarkan aplikasi kamera.
  • Tiada masalah peranti menjadi panas selepas penggunaan yang lama.
  • Ketahanan bateri yang baik.
  • Sokongan rangkaian LTE.
KONTRA dan Kekurangan
  • Tidak kalis air dan debu
  • Sedikit masalah sela masa ketika melakukan tatalan
  • Harga yang kurang kompetitif dengan pasaran semasa.
  • Masih menggunakan Android Jelly Bean

Nota: