Resipi kejayaan Apple. Anda patut mengamalkannya!

Resipi kejayaan Apple. Anda patut mengamalkannya!

Kejayaan Apple yang terkenal dengan komputer Macintosh, iPod, iPhone dan iPad tidak dapat dinafikan sesiapa. Inovasinya gila-gila.

Apa yang dapat anda pelajari daripada kejayaan syarikat ini? Carlo Cruz dalam pos terbaru di Lifehack.org menyenaraikan tujuh perkara patut anda pelajari daripada kejayaan Apple.

  1. Kekalkan kehidupan ringkas tetapi bermakna. Anda jangan salah faham dengan maksud “ringkas”. Ia bukan bermaksud tidak gigih berusaha. Ia bermaksud jangan terlalu sibuk dengan terlalu banyak perkara sehingga anda hilang fokus. Kekalkan fokus kepada perkara yang anda benar-benar yakin ia bermanfaat dan menjadi. Dalam menghasilkan produknya, Apple ada banyak pilihan perkara untuk ditumpukan, tetapi ia hanya fokus kepada manfaat produk atau ciri produk kepada pengguna.
  2. Utamakan penampilan. Satu daripada rahsia kejayaan Apple ialah penampilan. Ia ternampak setiap kali ketika pengasas Apple, Steve Jobs mengadakan majlis pelancaran produknya. Anda juga patut tahu bagaimana menyerlahkan diri dan produk anda!
  3. Kekal berhubung dan sentiasa terkini. Produk Apple sentiasa memenuhi keperluan semasa pengguna. Malah, produknya sentiasa “sync”, termasuk menerusi gajet iPhone atau iPad, juga program iCloudnya. Ia turut mampu berkomunikasi dengan gajet lain. Anda juga patut sentiasa terkini dan kekal berhubung.
  4. Jangan mudah selesai. Teruskan inovasi kerana penemuan baru dan kreativiti sentiasa ada. Apple amalkan ini untuk menghasilkan semua produknya. Anda juga sepatutnya begitu jika mahu berjaya!
  5. Jangan terlalu tergesa-gesa. Maksudnya jangan terlalu tergesa-gesa untuk berjaya. Jauh sekali untuk muncul sebagai jutawan segera. Apple melalui jalan penuh liku. Masa yang diambilnya berpuluh tahun. Seperti dicatatkan Carlo Cruz, Tuhan amat tahu “masa paling sempurna” untuk anda mengecapi kejayaan. Jadi, jangan terlau kemaruk mahu cepat berjaya!
  6. Abaikan manusia negatif. Apple, sepanjang perjalanannya, menerima berjuta kritikan, tetapi syarikat ini tidak berhenti dek cemuhan. Dalam masa sama, hari ke hari ia membina pengikut dan peminatnya sendiri. Kini berbilion pengikut dan peminat (pengguna) produk Apple di serata ceruk dunia. Anda juga tidak patut “dibodohkan” oleh mereka yang berfikiran negatif.
  7. Jadilah diri sendiri, mulakan revolusi. Bukan bermaksud anda perlu menggulingkan kerajaan menerusi revolusi, tetapi kekalkan jati diri dan mulakan bina kelainan, abaikan tradisi merugikan serta berikan sesuatu yang berguna serta bermakna kepada orang ramai. Apple sendiri melancarkan slogan yang amat bermakna buatnya pada 1997, iaitu “Think Different”.

Jangan menoleh lagi. Teruskan perjalanan. InsyaAllah, anda akan berjaya! – inimajalah.com

| INImajalah.com

| Komen: