Remaja tidak hilang di Villa Nabila: Komuniti Internet tertipu lagi?

Mohd Izzat Izzudin Hussin, 16, remaja yang dihebohkan kononnya disembunyikan makhluk halus di banglo tinggal Villa Nabila dekat Danga Bay, Johor sejak Sabtu lalu, ditemui di tempat lain.

Remaja ini ditemui selamat di Bandar Dato’ Onn di Tebrau, kira-kira jam 2 pagi tadi.

Kes itu menimbulkan kekecohan dan menarik perhatian ribuan komuniti online sehingga mendorong orang ramai bertumpu ke rumah lama terbabit sejak semalam.

Polis serta pasukan mencari terdiri Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Jabatan Pertahanan Awam juga melancarkan operasi di kawasan berkenaan.

Malah, kes ini menarik perhatian dan meningkatkan jumlah peminat di fanpage yang diwujudkan khusus mengenai misteri Villa Nabila yang dikatakan berhantu itu. Kini fanpage berkenaan berjaya menarik lebih 70 ribu peminat.

Fanpage dikenali Misteri Villa Nabila di Johor Bahru itu dapat diakses di sini.

villa nabila, hantu, misteri
Imej dari Thestar.com

Berikutan penemuan remaja terbabit, adakah sekali lagi komuniti online tertipu dan terkantoi dengan berita media Internet yang tidak tentu kesahihannnya atau ada versi lain di sebalik kejadian ini?

Sementara itu, HMetro.com.my melaporkan ibu remaja berkenaan mendakwa anaknya memberitahu lupa jalan pulang ke rumah seolah-olah ada individu yang membawanya ke suatu lokasi.

Justeru, beliau akan membawa anaknya berubat secara tradisional.

Sebelum itu, ada laporan di Internet menyebut remaja terbabit menyertai beberapa remaja lain memasuki villa misteri berkenaan.

Ada juga laporan lain menyebut remaja itu tidur di rumah rakannya selepas keluar dari Villa Nabila.

Perkembangan terbaru kes ini juga menimbulkan kemarahan komuniti online terhadap remaja terbabit dan mereka yang menyebarkan cerita misteri kehilangan itu di Internet. Antara komen yang ditemui di Facebook ialah:

Ismail Hashim Cis. Nyusahkan org je budok ni.

Craze Gilak dasar anak haram menyusahkan orang

Ina Pozi Tambat je kat tiang.. Susahkan mak bapak.. Kalau tido rmh kawan bagilah tau… Bikin susah org

Polis dijangka mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung kejadian ini. – – inimajalah.com

 

KEMASKINI 02:26 PETANG:

HMetro.com.my melaporkan Ketua Polis Johor Datuk Mohd Mokhtar Shariff mengesahkan remaja berusia 16 tahun yang dilaporkan hilang kononnya disorokkan di Villa Nabila ditemui bersama teman wanitanya di Desa Mutiara pada jam 12 tengah malam tadi.

Sehubungan itu beliau berkata orang ramai dinasihatkan menghentikan khabar angin mengenai villa berkenaan kerana menganggu tugasan polis.

| INImajalah.com

| Komen: