Pandang Pertama Oppo N1

 

Bagi menjual peranti terkini pengeluar memerlukan gimik. Ada yang menjual peranti dengan pengimbas ibu jari yang sebenarnya tidak diperlukan 90% pengguna di luar sana. Ada yang menyertakan stylus pembina yang sebenarnya leceh digunakan berbanding jari dan tak kurang juga yang mengaku mempunyai bateri terbesar. Setiap satu gimik ini wujud bagi membuatkan peranti yang dijual menyerlah di dalam pasaran yang dipenuhi peranti yang hampir kelihatan serupa.

Oppo N1
Pemproses1.7 GHz Empat Teras Snapdragon 600
RAM2 GB
Muatan Dalaman16 GB tiada sokongan kad MikroSD
Kamera13 MP boleh berputar dwi-Flash
Skrin5.9″ HD Penuh IPS LCD
Bateri3610 mAh

Oppo akhirnya memasuki pasaran Malaysia dengan Oppo N1. N1 mempunyai sistem kamera berputar yang membolehkan kamera utama 13 Megapixelnya digunakan sebagai kamera hadapan dan kamera utama sekaligus. Selfies yang anda ambil menggunakan kamera hadapan N1 akan kelihatan lebih cantik kerana sensor kamera yang lebih besar. Kamera N1 yang juga dilengkapi sepasang flash (seperti iPhone 5S) boleh berputar sebanyak 210 darjah. Secara teorinya ini memudahkan bukan sahaja mengambil gambar selfie syok sendiri malahan mengambil gambar dari atas, bawah dan di atas dengan lebih mudah tanpa pengguna yang terpaksa meletakkan tubuh di dalam posisi aneh bagi mendapatkan gambar yang dikehendaki.

Oppo N1 diperkasakan oleh pemproses 1.7 GHz empat teras Snapdragon 600, 2 GB RAM, 16 GB muatan dalaman tanpa sokongan kad MikroSD dan bateri sebesar 3610 mAh. Kami dapati Oppo N1 ialah sebuah peranti yang agak panjang, Bagi membolehkan mekanisma kamera berputar digunakan, bahagian atas peranti ini adalah lebih tinggi dari peranti lain. Bagi menyeimbangkan rekaan bahagian atas yang lebih panjang bahagian bawahnya juga dipanjangkan. Hasilnya sebuah peranti yang kelihatan gonjeng. Majoriti tubuh peranti ini diperbuat daripada plastik dengan sedikit kemasan logam pada bahagian tepi. Ia selesa dipegang kerana bahagian belakangnya yang melengkung mengikut kontur tangan pengguna.

Butang kuasa dan suara terletak pada bahagian kanan peranti manakala slot MikroSIM pula terletak pada bahagian kiri. Slot MikroSIM ini hanya boleh dibuka dengan menggunakan jarum seperti sebuah peranti Apple. Pada bahagian bawah terdapat port MikroUSB, sebuah pembesar suara dan jack fon kepala.

Sebuah lagi keunikan N1 ialah panel sesentuh pada bahagian belakang yang diberi nama O-Touch. Panel sesentuh kecil ini boleh digunakan sebagai butang pengkatup kamera ketika. Letakkan jari anda pada O-Touch selama sesaat dan kemudian lepaskan bagi mengambil gambar. Dalam demo yang kami lihat menggunakan O-Touch adalah jauh lebih mesra pengguna dari cuba menekan butang pengkatup kamera dengan menggunakan jari dengan menggunakan sebelah tangan.

Antaramuka

Oppo N1 menggunakan sistem operasi Android dengan antaramuka yang diberi nama Color OS. Apabila N1 dijual hujung bulan ini ia akan menggunakan Android 4.2.2. Kami tidak diberitahu bilakan kemasan terkini Android boleh dimuat turun.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

Color OS mempunyai beberapa perbezaan yang ketara dimana menu kustomasi latar belakang skrin, tema, widget dan animasi ketika tatalan dilakukan diakses dengan melakukan tatalan atas ke bawah dari muka utama. Color OS juga mempunyai sokongan beberapa isyarat jari (gesture) 

Sebagai contoh untuk menyahkunci peranti anda tidak perlu menekan butang kuasa sebaliknya menekan skrin sebanyak dua kali. Ini mengingatkan kami kepada fungsi yang serupa yang ada pada Motorola Moto X. Selain itu jika anda melukis huruf V pada skrin peranti yang dikunci, ia akan melancarkan aplikasi lampu isyarat. Untuk melancarkan aplikasi kamera secara segera dari skrin yang dikunci pula anda perlu melukis sebuah bulatan. Apa yang menarik tentang fungsi ini ialah anda boleh memprogramkan sendiri isyarat jari pilihan anda untuk melancarkan aplikasi berbeza. Senarai isyarat jari yang telah disimpan juga boleh dilihat bagi mengingatkan anda apakah yang telah diprogramkan oleh anda.

Selain itu kami juga sempat melihat demo O-Click sebuah aksesori yang berfungsi seperti sebuah alat kawalan jauh. Anda boleh mengambil gambar dari jarak jauh menggunakan O-Clik yang kelihatan seperti sebuah rantai kunci. Apabila sebuah lagi butang pada O-Click ditekan ia akan membuatkan Oppo N1 berdering bagi membolehkan anda mencarinya sekitar rumah apabila anda lupa dimana anda meletakkannya. Aksesori ini tidak disertakan sekali dengan pembelian N1 dan harus dibeli berasingan.

xperia-Z-kesemua-antaramuka

 

Kesimpulan

Keunikan yang dibawa oleh Oppo N1 pasti membuatkan peranti ini menonjol di pasaran. Idea meletakkan kamera utama yang lebih berputar ialah sebuah idea yang bijak kerana kualiti kamera hadapan kerap kali adalah lebih rendah dari kamera utama. Fungsi O-Touch adalah menarik walaupun tidak berapa mesra pengguna. Sebuah lagi fungsi yang kami gemari ialah fungsi isyarat jari yang boleh digunakan walaupun ketika skrin peranti dikunci. Kemampuan untuk memprogramkan isyarat jari persendirian menambahkan lagi penggunaan fungsi ini kepada pemilik N1. Buat masa ini kami suka dengan apa yang kami lihat kerana kami gemarkan pembaharuan di dalam dunia peranti mobil.

Jika ada kelemahan yang boleh kami lihat sekarang ialah tiada sokongan LTE dan penambahan memori dalaman. Peranti ini tidak kalis masa hadapan. Sepatutnya bagi peranti yang berkemampuan tinggi tahun 2014 sekurang-kurangnya fungsi LTE harus disokong. Tiada juga sokongan NFC pada Oppo N1

Kami berharap dapat melakukan ulasan peranti ini pada masa hadapan bagi melihat sama ada ianya berbaloi dimiliki.

PRO dan Kelebihan
  • Kamera yang boleh diputarkan. Kamera hadapan boleh digunakan untuk mengambil gambar dari hadapan. Selfie yang diambil kini lebih cantik kerana menggunakan kamera beresolusi tinggi.
  • O-Touch, panel sesentuh pada bahagian belakang juga sebuah inovasi yang menarik bagi memudahkan anda mengawal peranti dengan menggerakkan jari pada bahagian belakang tanpa perlu menyentuh skrin. Sebelum ini sistem seumpama O-Touch hanya kami lihat pada sebuah projek KickStarter yang gagal mendapatkan dana.
  • O-Click – Aksesori seakan rantai kekunci yang berfungsi seperti alat kawalan jauh. Telefon akan berdering apabila butang ditekan dan memudahkan anda mencari N1 sekiranya ia hilang di rumah
  • Sokongan isyarat jari yang boleh digunakan untuk melancarkan aplikasi sungguhpun ketika peranti dikunci. Anda boleh memprogramkan isyarat jari rekaan anda sendiri untuk pelbagai fungsi N1.
KONTRA dan Kekurangan
  • Sistem operasi masih lagi Android 4.2.2
  • Tiada sokongan LTE.
  • Tiada sokongan penambahan memori dalaman
Oppo N1 akan dijual hujung bulan ini dengan harga RM 1798

Nota: