Pandang Pertama BenQ F5

 

BenQ F5
Pemproses1.2 GHz Empat Teras Snapdragon 400
RAM2 GB
Muatan Dalaman16 GB sokongan kad MikroSD
Kamera Utama13 MP dengan flash
Kamera Depan2 MP
Skrin5″ IPS LCD 720P
Bateri2520 mAh

Ben Q ialah jenama yang terkenal dengan pemacu cakera CDR dan monitor LCD komputer. Hari ini dengan pelancaran BenQ F5 dan T3 mereka menerokai pasaran peranti pintar Android pula. Sebelum ini pihak BenQ ada mengeluarkan telefon mudah alih di bawah penjenamaan BenQ Siemen. Walau bagaimanapun syarikat ini ditutup pada tahun 2007.

BenQ F5 ialah peranti dengan skrin 5″ IPS LCD beresolusi 720P. Ia diperkasakan pemproses 1.2 GHz empat teras Snapdrgaon 400, 2 GB RAM dan muatan dalam 16 GB dengan sokongan kad MikroSD sehingga 64GB. Kemampuan optik ialah 13 Megapixel untuk kamera utama yang menggunakan sensor Sony dan kamera hadapan sebesar 2 Megapixel. Bateri yang digunakan pula sebesar 2520 mAh. Sungguhpun panel belakang peranti ini boleh dibuka bateri F5 tidak boleh dibuka.

Dari segi binaan keseluruhan peranti ini diperbuat daripada plastik dengan panel belakang yang licin. Butang kuasa terletak pada bahagian atas bersama dengan jack fon kepala. Butang suara terletak pada bahagian kanan manakala slot MikroUSB terletak pada bahagian belakang. Pada panel belakang terdapat sebuah pembesar suara. Kedua-dua butang kuasa dan suara diperbuat daripada bahan plastik tetapi binaannya teguh. Ianya tidak longgar dan selesa digunakan. Kualiti binaan adalah sederhana tanpa kemasan logam ataupun bahan binaan eksotik. Ianya senang digunakan dengan sebelah tangan dan selesa digenggam kerana bahagian tepian yang tidak tajam.

Walaupun diklasifikasikan sebagai sebuah peranti kelas pertengahan, BenQ F5 menyokong rangkaian LTE. Disamping itu peranti ini hanya menyokong satu SIM bersaiz Mikro.

Q Home UI

Sistem operasi Android 4.4.2 digunakan pada peranti ini. Sebuah usaha yang bagus oleh BenQ kerana kami rasakan penggunaan Android Jelly Bean sudah tidak boleh diterima lagi di suku ke empat 2014. Antaramuka khas  Q Home UI ialah antaramuka yang digunakan oleh Ben Q untuk peranti ini. Seperti antaramuka majoriti peranti dari tanah besar China, Q Home UI tidak dilengkapi talam aplikasi. Talam notifikasi, antaramuka aplikasi telefon dan galeri gambar nampaknya diambil terus dari Android stock. Jadi bolehlah dikatakan Q Home UI ialah Android Stock dengan perubahan kecil pada ikon dan talam aplikasi yang dibuang. Perubahan yang mendadak kami sedari berlaku pada aplikasi kamera. Kesemua fungsi tambahan dan fungsi tetapan kamera diletakkan pada bahagian kiri skrin. Butang rakaman video dan pengatup kamera terletak pada bahagian kanan skrin.

Tiada pilihan kustomasi dan tema disertakan pada peranti ini. Jadi sekiranya anda penggemar kustomasi dan tema anda perlu memuat turun aplikasi pihak ketika dari Play Store.  Fungsi unik yang ada pada peranti ini teknologi Low Blue Light. Menurut Ben Q sistem ini mampu mengurangkan kesakitan pada mata apabila melihat skrin peranti untuk masa yang lama. Low Blue Light boleh merubah tahap keterangan skrin bergantung kepada aplikasi apa yang digunakan. Selain itu terdapat juga fungsi mengambil gambar dengan pengesanan senyuman.

Penutup

Dari pandangan pertama kami BenQ F5 ialah sebuah lagi peranti kelas pertengahan yang memasuki pasaran tempatan pada harga RM799. Di atas kertas tidak banyak benda yang membezakan F5 dengan peranti pesaing.  Tunggu sahaja ulasan penuh kami di masa hadapan untuk melihat dengan lebih terperinci kelebihan dan kekurangan peranti ini apabila dibandingkan dengan peranti-peranti yang lain.

 

Nota: