Pandang Pertama : Acer Iconia W4 – Tablet 8-inci Windows 8.1

Acer Iconia W4

Acer sedia menjadi yang pertama dalam memperkenalkan tablet Windows 8 bersaiz 8-inci. Selepas memperkenalkan Iconia W3 beberapa bulan yang lepas, kini pihak Acer hadir dengan Iconia W4 yang menyertakan beberapa kemaskini pada tablet bersaiz 8-inci berkenaan.

Rekabentuk

Dari segi rekabentuk, boleh dikatakan Acer Iconia W4 dan juga Iconia W3 tidak membawakan perbezaan yang begitu ketara. Pada bahagian hadapan, kedua-duanya dilihat hampir menyerupai antara satu sama lain.

Pada bahagian belakang pula, kedudukan logo dilihat diubah sedikit daripada paparan mendatar kepada menegak. Dari segi port-port yang disertakan pula, kedua-duanya adalah sama tetapi kedudukan setiap satunya adalah berbeza.

Pada bahagian belakang juga, kamera 5-megapixel disertakan, memudahkan pengguna untuk merakamkan gambar menggunakannya. Walaupun mungkin agak janggal, tetapi dengan lebih ramai yang inginkan kamera belakang, maka mungkin ia dikekalkan oleh pihak Acer.

Untuk panggilan video pula, pihak Acer menyertakan kamera 2-megapixel pada bahagian hadapan.

Perisian
Spesifikasi Acer Iconia W4
CipIntel Atom Bay Trail
Skrin8-inci (1280×800 pixel)
Storan64GB + mikroSD
Memori2GB LPDDR3
Kamera5MP + 2MP
Portmikro-HDMI, mikr0-USB

Acer Iconia W4 menyertakan sistem operasi Windows 8.1, membolehkan para pengguna untuk menggunakan ia sebagai sistem komputer biasa. Pengguna juga boleh memasang pelbagai aplikasi yang ditawarkan melalui Windows Store, disamping memasang perisian daripada pihak ketiga tanpa sebarang masalah.

Pembelian Iconia W4 juga turut hadir dengan perisian Office 2013 secara percuma, membolehkan pengguna melakukan tugasan pejabat dan sebagainya apabila berada di luar.

Pihak Acer juga melengkapkan tablet tersebut dengan beberapa aplikasi daripada Acer sendiri, seperti Acer Docs, dan sebagainya.

Konklusi

Jikalau dibandingkan dengan Iconia W3 sebelum ini, pihak Acer menyertakan kemaskini pada bahagian skrin dan juga cip pemprosesan. Kini ia tampak lebih terang dan jelas berbanding Iconia W3 sebelum ini, disamping mengurangkan refleksi.

Disamping itu, dengan penggunaan cip Bay Trail, ia menawarkan masa penggunaan bateri yang lebih lama dan prestasi lebih tinggi. Menurut Acer, Iconia W4 mampu bertahan untuk penggunaan sehingga 10 jam dengan sekali pengecasan.

Apa pun, ini merupakan pandang pertama secara ringkas. Kami mungkin akan membuat ulasan penuh untuk Acer Iconia W4 ini dalam beberapa minggu akan datang.

Acer Iconia W4 dijual pada harga RM1099 di Malaysia. Beberapa aksesori seperti papan kekunci dan juga pelindung skrin turut ditawarkan secara berasingan.

Nota: