Kes terbaru tembak di Kelantan: Blog dahului media perdana

Beberapa blog dikesan mendahului media perdana menyiarkan berita kes tembak seorang lelaki di Pengkalan Petah, Tawang, Bachok, Kelantan, malam tadi.

Team editorial inimajalah.com yang memantau perkembangan komuniti online kira-kira jam 10 malam tadi mengesan antara blog awal yang menyiarkan berita itu ialah kerabubersuara.blogspot.com dan tenteramaya.blogspot.com.

Berita itu juga disiarkan di forum carigold.com beberapa minit kemudian dengan memaparkan gambar dipercayai dipetik dari blog yang awal menyiarkan berita berkenaan.

Bagaimanapun siaran berita di blog terbabit hanya secara ringkas dan tanpa identiti mangsa serta pengesahan polis.

tembak, bunuh, pistol, tembak di kelantan
Imej dari carigold.com

Dalam kejadian terbaru itu, seorang lelaki maut selepas terkena beberapa das tembakan ketika dalam perjalanan pulang dari berniaga.

Berita itu kemudiannya disahkan oleh Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Kelantan, ACP Lai Yong Heng yang disiarkan beberapa media perdana dengan memetik berita Bernama, selang beberapa jam kemudian dan hari ini.

Kelewatan media perdana menyiarkan berita itu dipercayai disebabkan keperluan mendapatkan pengesahan kejadian dari pihak berkuasa berbanding blog, laman sosial dan forum.

Dalam kejadian itu, Alias Yusof, 58, ditembak beberapa das yang tepat mengenai kepala dan perut, kira-kira 8.45 malam.

Mangsa ditembak individu menaiki motosikal kira-kira 250 meter dari tapak pasar malam berdekatan ketika menunggang motosikal bersama anaknya berumur enam tahun. – inimajalah.com

| INImajalah.com

| Komen: