Kemaskini Windows Defender Fall Creators Update Menggunakan AI Untuk Menentang Perisian Hasad

Serangan perisian hasad semakin menular kebelakangan ini, dan ia mengganggu banyak pengguna-pengguna di seluruh dunia, tidak kira di rumah mahupun di pejabat. Bagi mereka yang menggunakan komputer dengan sistem operasi Microsoft Windows banyak terjejas, dan pihak Microsoft kini nampaknya sedang berusaha untuk memperbaiki sistem keselamatan mereka, terutamanya untuk sistem operasi Windows 10.

Di dalam post Windows Blog terbaru Microsoft, mereka mengetengahkan penambahbaikan dan kemaskini yang sedang dijalankan untuk memastikan bahawa keselamatan komputer-komputer pengguna Windows 10 terjaga. Menurut syarikat tersebut, mereka akan menggunakan kecerdasan buatan awanan dan data yang terkumpul daripada 400,000 buah komputer yang menggunakan Windows 10 untuk memperbaiki pangkalan data penunjuk serangan (Indicator of Attack) perisian-perisian hasad ini.

Pihak Microsoft berkata lagi bahawa serangan perisian hasad kini menggunakan taktik-taktik baru, dan dengan menggunakan teknologi kecerdasan buatan ini, mereka mampu mengesan penunjuk serangan ini, dan memuat-naik kemaskini keselamatan dalam masa beberapa jam sahaja.

Antaramuka Windows Defender Advanced Threat Protection (ATP) juga ditunjukkan, dan perisian ini boleh menunjukkan kesemua proses yang dimulakan oleh pengguna-pengguna Windows 10 di dalam sesawang dalaman, dan dari sana, pihak keselamatan IT boleh lihat komputer yang manakah sedang diserang, dan boleh mengkuarantinkan fail perisian hasad tersebut dengan cepat.

Selain dari itu, perisian Windows Defender ATP ini juga boleh menunjukkan jurutera keselamatan apakah sektor-sektor yang boleh diperbaiki keselamatannya untuk mengurangkan kemungkinan serangan perisian hasad di tempat kerja mereka.

Buat masa ini, Microsoft akan memuatnaik kemaskini Windows Defender ATP untuk pengguna-pengguna kelas perusahaan terlebih dahulu, dan apabila ianya sudah stabil, akan hadir untuk pengguna-pengguna biasa tidak lama kemudian.

| Artikel penuh

| Muka terdahulu | Tech lain

Nota: