Mengenali saudara Mohd Sukur bin Ibrahim, 31 tahun ini pasti memberikan kita inspirasi untuk berusaha lebih kuat sehingga mencapai impian yang diidam-idamkan. Sekiranya beliau boleh berjaya meskipun kurang upaya, apakah yang menjadi halangan bagi mereka yang dilahirkan sempurna dan sihat?

Bagi mengupas latar belakang dan kisah hidup beliau, saya bagi pihak Vocket telah menemubual insan yang berjiwa besar ini. Ikuti kisah seterusnya di sini.

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Mohd Sukur adalah pemenang Anugerah OKU Cemerlang Kebangsaan (Keusahawanan) yang menjalankan bisnes perkhidmatan membekal dan memasang permaidani ‘wall-to-wall’ untuk masjid, pejabat dan lain-lain melalui syarikat miliknya, D Strike Solution sejak 2010. Bekas graduan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Maklumat dari Universiti Kebangsaan Malaysia ini juga merupakan seorang penceramah motivasi dan penasihat kewangan.

Kehidupan Sukur Sebelum Berbisnes

Beliau berasal dari keluarga sederhana di Melaka. Ayahnya seorang pesara tentera, manakala ibunya pula seorang surirumah. Sukur telah menceritakan kepada Vocket bagaimana kehidupannya sebelum berbisnes seperti hari ini.

Sukur:

Selepas tamat belajar di UKM saya terlibat dengan sebuah syarikat MLM. Di situlah permulaan saya memasang impian untuk menjadi jutawan. Saya tidak menyesal pernah terlibat dengan MLM kerana bagi saya ia banyak memberi pengajaran buat saya. Saya ambil bahagian yang positif dan lupakan bahagian yang negatif.

Jika boleh saya tidak menggalakkan sesiapa menyertai MLM terutama yang berasaskan head-hunting, elakkan. Jauhi juga sebarang skim cepat kaya.

Melihat kehidupan leader di dalam organisasi MLM membuatkan saya teruja. Saya berjaya mencapai pangkat yang tinggi dalam organisasi tersebut, mendapat komisyen yang tinggi namun saya tersalah langkah apabila saya terikut-ikut luxury lifestyle mereka yang membeli barangan berjenama, makan di hotel mewah, melancong ke luar negara dan tidak membuat sebarang simpanan, semua duit yang saya dapat semua akan dihabiskan. Akhirnya organisasi tersebut berpecah dan saya jatuh.

Alhamdulillah, saya belajar untuk move on dan let go. Susah untuk saya bangkit semula tapi impian untuk menjadi jutawan tak pernah padam. Impian untuk bantu ibu dan ayah di kampung sentiasa membara. Saya tutup buku kisah lama, berhenti menyalahkan orang lain. Sebaliknya saya perbaiki diri sendiri dan buka buku baru untuk pastikan impian saya tercapai.

Pada masa itu, abah dan mak bersungguh-sungguh pujuk saya untuk bekerja terutamanya menjadi penjawat awam. Demi menjaga hati mak abah saya pergi juga beberapa temuduga kerajaan.

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Agak sukar untuk saya mendapat 100% sokongan dari keluarga kerana kegagalan bisnes saya yang terdahulu, namun saya tekad untuk teruskan kerana bagi saya impian saya mampu tercapai dengan pantas sekiranya saya berniaga, InsyaAllah.

Pada waktu itu saya meminta mak dan abah mendoakan kejayaan saya dan merestui apa yang saya lakukan. Walaupun mereka tidak bersetuju dengan pilihan saya untuk berniaga, saya tidak pernah bertegang urat sebaliknya hanya berdiam diri dan mengambil kata-kata mereka sebagai pembakar semangat.

Belajar Dari Kegagalan Membuahkan Hasil Pada Perniagaan Ke-4 Sukur

Gagal dan terus gagal tidak mematahkan semangat Sukur untuk bangkit kembali walaupun keluarga sudah mula risau dan mahukan dia mencari kerja dalam sektor awam. Hanya restu dan doa kedua ibubapa yang diminta olehnya agar dia terus tekad berusaha menebasi rintangan bisnes.

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Sukur:

Perniagaan membekal dan memasang karpet yang saya jalankan sekarang merupakan perniagaan ke-4 saya setelah gagal dalam 3 perniagaan sebelumnya. Saya pernah menjadi usahawan MLM selama 2 tahun, membuka dobi yang bertahan 6 bulan sahaja dan menjadi rakan kongsi syarikat hiasan dalaman.

Antara faktor utama kegagalan bisnes saya sebelum ini adalah pengurusan kewangan yang lemah: perbelanjaan melebihi pendapatan, terikut-ikut dengan kononnya ‘luxury lifestyle’ dan cetek ilmu tentang keusahawanan.

Apabila saya memulakan D Strike Solution, saya mengambil pengajaran dari apa yang terjadi atas kegagalan sebelum ini. Saya mulakan dengan modal yang minima, mengurangkan perbelanjaan semampu yang boleh, hidup di bawah paras kemampuan dan mula menjadikan menyimpan wang sebagai hobi dan motivasi diri.

D Strike Solution adalah lambang kebangkitan saya. Alhamdulillah masih utuh bertahan sehingga kini.

Bisnes Perkhidmatan Menjadi Pilihan

Ramai usahawan yang berjaya menyatakan bisnes perkhidmatan adalah model bisnes pertama yang patut diusahakan sebelum beralih ke bisnes berasaskan produk kerana modal permulaannya yang rendah. Adakah itu penyebab Sukur memilih bisnes perkhidmatan? Ini jawapan Sukur:

Ramai bertanya soalan “Sukur, kenapa pilih perniagaan membekal dan memasang karpet? Macam mana boleh mulakan karpet?”

Jawapannya saya pun kurang pasti. Apa yang saya pasti ini adalah rezeki tanpa diduga dari Allah. Ianya bukan pilihan, tapi rezeki dan peluang dari Allah. Saya ambil peluang yang terhidang dan usahakan sehingga ke hari ini.

D Strike Solution bertitik tolak selepas kejatuhan syarikat hiasan dalaman yang saya usahakan bersama dua lagi rakan kongsi.

Syarikat hiasan dalaman itu ditutup kerana seorang rakan kongsi mengikut suami bekerja dan berpindah ke luar negara, manakala seorang lagi memilih untuk makan gaji di syarikat lain. Pada ketika itu saya masih tercari-cari arah tujuan dan satu hari saya mendapat panggilan dari pelanggan yang pernah mendapatkan khidmat syarikat hiasan dalaman kami dahulu mengatakan beliau ingin memasang karpet di pejabatnya.

Saya berterus terang memberitahu syarikat kami sudah tidak lagi beroperasi dan kami sudah berpecah. Namun, beliau bertegas kerana perkhidmatan itu diperlukan dengan kadar segera dan tiada masa untuk mencari syarikat yang lain. Ketegasan pelanggan itulah pencetus bermulanya D Strike Solution.

Buat pengetahuan anda, bisnes berasaskan perkhidmatan yang dibina oleh Sukur ini tidak dimulakan dengan geran bisnes untuk OKU atau membuat sebarang pinjaman untuk berbisnes. Apa yang Sukur lakukan ialah memastikan setiap keuntungan yang diperolehi akan menjadi modal untuk membolehkan syarikat beliau mendapat projek yang lebih besar nilainya.

Berganding Bahu Dengan Bakal Isteri Yang Kini Telah Menjadi Pasangan Hidup Sukur

Baru-baru ini majlis perkahwinan Mohd Sukur bersama pasangannya, Wan Nurul Syazwani Wan Mohd Yen, 27 telah mendapat liputan akhbar tempatan. Jelas terpancar kegembiraan di wajah kedua-dua mempelai ini sewaktu mereka diraikan oleh keluarga dan rakan-rakan. Menurut Sukur, inilah insan yang percaya kepadanya dan sanggup bersusah payah membangunkan bisnes.

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Sukur:

Wani, isteri saya sekarang (ketika itu kami belum berkahwin lagi) telah membantu saya membangunkan bisnes ini. Dia mengenali saya semasa saya tidak mempunyai apa-apa lagi. Kami membina perniagaan bersama dengan azam untuk berjaya dan membina kehidupan bersama walaupun susah atau senang. Dia yang akan memandu kereta untuk membawa saya berjumpa pelanggan ke sana dan ke mari kerana saya tidak boleh memandu kereta.

Masih ingat 6 tahun lepas. Masa itu bisnes saya masih baru. Job kurang. Duit lagi lah tak ada. Cara kami nak survive, saya minta Wani cari kerja untuk dapat duit sikit-sikit. Selalu saya teman dia pergi kerja naik KTM. Waktu itu Wani dapat kerja di MAB sebagai kerani dengan gaji RM800 sebulan. Lepasan ijazah dapat gaji macam itu memang sikit. Tapi bertabahlah. Kami anggap itu adalah permulaan sebuah kejayaan. Wani sempat kerja 6 bulan juga sebab lepas itu bisnes kami makin mendapat permintaan. Dan paling penting tiada orang nak bantu saya berjumpa klien. Jadi Wani berhenti kerja dan membantu saya.

Cabaran Berbisnes Bagi Sukur

Menjadi usahawan adalah lebih mencabar dari makan gaji. Menjadi OKU tanpa kaki dan tangan yang sempurna adalah lebih mencabar fizikal dan emosi berbanding manusia yang normal. Maka, menjadi Usahawan OKU pastinya lebih mencabar buat saya.

Namun saya percaya dan saya telah melaluinya, selepas setiap cabaran yang dilalui hasilnya pasti lumayan. Kuncinya, sabar dan teruskan usaha.

Di awal perniagaan bersama D Strike Solution pastinya mencabar. Ada yang membatalkan tempahan kerana faktor fizikal saya dan tidak yakin dengan kemampuan saya. Ada juga pelanggan yang tidak membuat pembayaran yang jumlahnya membuatkan saya ingin berputus asa meneruskan perniagaan.

Namun saya percaya, Allah Maha Adil. Alhamdulillah untuk nikmat ‘lapang dada’ yang Allah selalu kurniakan kepada saya. Di sebalik cabaran yang saya lalui, ada rezeki berganda yang Allah berikan.

Alhamdulillah, selepas melepasi tempoh 5 tahun bersama D Strike Solution perniagaan ini masih berjalan lancar. Pejabat urusan terletak di Seri Kembangan, Selangor, namun tim D Strike Solution telah mendapat kepercayaan di seluruh Semenanjung Malaysia.

Mak dan abah kini 100% menyokong kerjaya saya. Alhamdulillah sedikit sebanyak saya mampu membantu mak abah di kampung, itukan impian saya. Saya dapat memiliki kereta idaman hati dan dapat berkahwin dengan wanita yang saya cintai. Saya juga telah di anugerahkan Tokoh OKU Kategori Usahawan peringkat kebangsaan pada tahun 2014.

Sukur Sebagai Penceramah Motivasi

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Facebook Mohd Sukur Ibrahim

Selain bisnes perkhidmatan memasang permaidani, pada masa yang sama saya turut mendapat jemputan untuk menjadi Penceramah Motivasi untuk pelajar dan juga sektor korporat.

Berkongsi kisah hidup dan semangat juang untuk berjaya adalah keghairahan saya. Bayangkan, tanpa kaki tangan yang sempurna, ketinggian saya cuma 100 cm dengan izin Allah banyak yang telah saya kecapi dari segi material dan rohani. Hebatkan kuasa Allah, jadi saya ingin berkongsi dengan lebih ramai orang kejayaan dan kebahagian adalah milik setiap insan.

Kisah Di Sebalik Memiliki 3 Buah Hartanah

Abah adalah individu utama yang menyebabkan saya membeli rumah pertama saya di Melaka pada tahun 2012. Dulu, setiap kali saya pulang ke kampung soalan wajib abah tidak pernah lupa untuk tanya adalah “Bila Sukur nak kerja kerajaan?”.

Apabila saya memberitahu perniagaan saya sudah stabil, Abah masih tidak percaya. Saya pasti Abah risau jika nasib yang sama berulang kepada saya. Jadi, pada ketika itu saya fikir mungkin dengan membeli sebuah rumah, abah akan percaya dengan perniagaan yang saya usahakan dan berasa senang hati.

Memang agak kelakar apabila saya memilih untuk membeli rumah teres 2 tingkat yang terletak berdekatan dengan rumah kedua ibubapa saya kerana pada masa itu saya harap abah dapat lihat rumah tersebut hari hari dan tidak lagi bertanya tentang kerja kerajaan.

Alhamdulillah, sejak membeli rumah tersebut, Abah memang tidak lagi bertanya tentang kerja kerajaan sebaliknya selalu bertanya tentang perniagaan saya. Idea saya membeli rumah untuk mendapatkan kepercayaan Abah terhadap bisnes saya memang bernas!

Selang 6 bulan berikutnya pada tahun awal tahun 2013, saya membeli rumah kedua saya. Saya membaca beberapa tulisan otai hartanah, membeli rumah pun mampu membuatkan kita ketagih untuk terus membeli rumah seterusnya. Rumah kedua saya di Kajang saya beli dengan harga 10% dibawah harga bank value kerana tuan rumah tersebut inginkan tunai segera. Alhamdulillah.

Rumah ketiga pula saya baru sahaja saya miliki pada tahun 2015.

Nasihat Sukur Kepada OKU Lain

Ramai yang cakap Sukur Ibrahim‬ ada self esteem yang tinggi, dalam bahasa senangnya keyakinan terhadap diri sendiri yang tinggi. Sejujurnya ia adalah hasil pembinaan jati diri dan penerimaan diri yang berterusan. Proses belajar yang masih berterusan sehingga hari ini. Beri peluang pada diri untuk proses tersebut. Ia akan bermula apabila anda mula menyayangi diri sendiri. Sayangi diri sepenuh hati, terima siapa diri kita yang Allah jadikan dan lakukan yang terbaik!

Pertama sekali, mula terima dan sayang diri sendiri. Fake it until you make it. Memang susah untuk menerima nasib diri, tapi berpura-puralah kita kuat untuk menerima nasib ini sehingga akhirnya kita benar-benar menerima sepenuh hati dan redha. Selepas itu, hidup kita akan lebih ceria dan bahagia.

Saya bertuah dikurniakan mak dan abah yang hebat membesarkan saya dengan sempurna, memberikan didikan dan pendedahan yang terbaik buat saya. Adik-beradik dan saudara mara yang menyayangi saya. Saya juga bertuah dikurniakan sahabat-sahabat yang banyak membantu dan orang sekeliling yang banyak mendoakan saya.

Kedua, buka peluang untuk diri sendiri merasai nikmatnya dunia yang Allah ciptakan untuk kita semua sehingga kita bertemu Pencipta.

Ketiga, seseorang bahagia bukan kerana dia memiliki banyak perkara, tetapi kerana dia tidak membandingkan miliknya dengan milik orang lain. Berbahagialah kita dengan cara kita.

Tonton kompilasi bergambar kisah hidup Sukur dari kecil hingga dewasa:

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram