Bagaimana untuk menjadi kaya dan dapat banyak wang cara sufi

Ramai di kalangan kita sering tertanya-tanya bagaimana untuk menjadi kaya dan dapat banyak wang tanpa usaha keras. Ia tidak mustahil. Tulisan ini akan memperincikannya.

Anda barangkali sudah berusaha ‘separuh mati’, tetapi masih juga miskin, hutang bertimbun atau pendapatan masih pada tahap tidak seberapa? Pada masa sama, ada beberapa individu di sekeliling anda hanya berusaha ala kadar atau ‘biasa-biasa’ sahaja, tetapi pendapatannya lumayan dan harta kekayaannya makin bertimbun?

Anda berada dalam situasi begini? Anda berasa hairan dan kecewa kerana tetap tidak dikurniakan rezeki yangkalau pun tidak melimpah ruah, tetapi cukup untuk menampung keperluan hidup sekeluarga tanpa hutang bertimbun?

Jika ini anda hadapi, penulis ada satu kisah menarik untuk sama-sama kita perhatikan.

Kisah ini adalah rentetan daripada posting Syahrul Nizam Junaini di Facebook.

Penulis pernah mengungkapkan kepada seorang sahabat mengenai ‘kepelikan’ ini – orang yang berusaha keras separuh mati tetapi rezeki tetap tidak mencukupi sedangkan ada orang lain berusaha ‘biasa-biasa’ sahaja, tetapi mendapat rezeki secara mudah, banyak dan mencukupi.

Lantas sahabat penulis mengungkapkan begini:

“Dengan duit ni, kita kena main sembunyi-sembunyi. Ada masa kita kejar duit, ada masa kita yang sembunyi, biar duit pulak kejar kita’.

Sekali dengar memang boleh membuatkan kita sedikit tercengang. Ini sudah macam main sembunyi-sembunyi (hide and seek) yang budak-budak biasa mainkan sesama rakan sebaya mereka.

Tetapi cuba amati lagi penerangan sahabat berkenaan. Dailog ini berlaku ketika sahabat berkenaan menceritakan kepada penulis bahawa beliau sudahpun menerima geran RM4 juta daripada satu agensi di bawah Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (Mosty).

Dengan geran berkenaan, beliau akan membina sebuah kilang bertaraf Amalan Perkilangan Baik (GMP) dan menjadi contoh kepada usahawan lain. Sebelum ini, sahabat berkenaan sudah mempunyai kilang industri kecil dan sederhana (IKS), malah dialog ini juga berlaku di dalam pejabat beliau di kilang IKS terbabit.

Katanya, memang Islam menganjurkan kita berusaha keras mencari rezeki, tetapi ini menyebabkan kadang-kadang (atau selalu) kita melupakan Allah swt, malah di tengah keghairahan mencari rezeki, kita lupa meminta daripadaNya. Lebih parah lagi, kita lupa menyembahNya.

Justeru, menurut sahabat berkenaan, ada masanya kita perlu ‘berhenti’ berhempas pulas mengejar wang dan ‘kembali’ ke pangkuan Allah swt. Tempoh ‘kembali kepada pangkuan Allah swt’ inilah yang beliau namakan sebagai tempoh ‘ada masa kita yang sembunyi, biar duit pulak kejar kita’.

Bagaimanakah untuk kembali ke pangkuan Allah swt?

Menurut sahabat berkenaan, dalam tempoh itu, kita perlu melakukan beberapa perkara. Antaranya ialah melaksanakan kerja dakwah, banyakkan taubat, bersedekah dan lipatgandakan ibadat, termasuk qiamullail.

“InsyaAllah, dalam tempoh ini, wang pulak akan kejar kita tanpa kita sedari,” kata sahabat berkenaan penuh yakin.

Menurutnya, kaedah itu banyak diamalkan ahli sufi, tetapi mereka melakukan kerja dakwah, bersedekah, bertaubat dan amal ibadat dengan penuh ikhlas kerana Allah swt, bukan kerana wang atau kebendaan. Wang atau kebendaan datang sendiri setelah hidup seseorang diredhai Allah swt.

Ketika perbualan masih rancak, tiba-tiba sahabat ini bangun dari kerusinya sambil mencapai kopiah di atas meja sambil berkata:

“Dah Asar. Jom kita solat di masjid”.

Bilik pejabatnya tidak mempunyai jam dinding. Suara azan Asar dari masjid juga tidak kedengaran kerana masjid agak jauh dari situ. Namun, berdasarkan pengamatan penulis, sahabat ini tidak memerlukan jam loceng atau suara azan untuk mengetahui sesuatu waktu solat sudah masuk.

Di dalam dirinya seolah-olah ada jam loceng yang akan berbunyi sendiri apabila masuk sahaja waktu solat. Sepanjang pengamatan penulis, sahabat ini sentiasa solat berjemaah sebaik masuk waktu solat.

Sahabat ini bukan calang orang jika mahu diukur dari sudut duniawi. Kalau jika harta dunia boleh dijadikan ukuran, kehidupan sahabat ini lebih daripada mencukupi.

Namun, beberapa kereta mewahnya, termasuk Mercedez model terbaru dan banglo di lereng bukit di Lembah Klang serta beberapa hartanah lain, tidak membuatkannya mengabaikan solat, malah amat menjaga solatnya sepanjang masa.

Jika anda menganggap bagaimana meraih kekayaan atau buat duit secara ‘mudah’ tanpa usaha keras adalah sesuatu yang mustahil, kini mungkin anda perlu berfikir semula. Dengan kuasa Allah taala, ia menjadi mudah dan tidak mustahil.  – inimajalah.com

Nota: