Bagaimana menjadi blogger berjaya, bukan blogger cap ayam

Tulisan ini adalah sebahagian daripada beribu panduan yang dapat ditemui di internet mengenai panduan atau tip bagaimana untuk menjadi blogger yang baik dan berjaya.

Namun apa yang unik ialah tumpuan tulisan ini diberikan lebih kepada bagaimana menjadi blogger yang baik dan berjaya dari sudut hukum moral dan nilai murni sebagai penulis internet.

Saya suka memetik entri terbaru dari parpukari.blogspot.com, iaitu:

“Kalau ikut hati aku la, aku dah geli dan jijik nak cerita pasal si Nizar Laknatullah ni, namun aku gagahkan jugak la sebab ada banyak benda bodoh si bahalol ni buat. Tapi demi nak tunjuk kat korang siapa sebenarnya Nizar Lahanat ni, so bacalah apa yang ditulis oleh Perak Today…”

Sebelum meneruskan penulisan entri ini, saya mahu membuat sedikit pengenalan diri. Saya ialah Tok Awang. Saya kolumnis tetap ruangan pojok di inimajalah.com. Ini kali pertama saya menyebut siapa saya walaupun sudah banyak kali menulis untuk majalah online ini.blog, blogger

Tugas saya di inimajalah.com, sebagaimana dikehendaki editornya, ialah membaca dan memantau sebanyak mungkin blog dan web serta menulis entri berkaitan bagi ruangan pojok.

Daripada kerja itu, saya menemui beberapa trend penulisan oleh ramai blogger tempatan. Cara penulisan yang saya mahu sentuh kali ini ialah kaedah penulisan hodoh oleh sesetengah blogger.

Saya cuba untuk tidak membuat penilain yang bias kepada mana-mana pihak, tetapi saya mahu nyatakan bahawa sepanjang penelitian terhadap beratus, mungkin beribu blog tempatan di internet, ada sesetengah blogger pro Umno-Barisan Nasional (BN) menulis dengan bahasa kesat, sarat emosi dan dendam kebencian sehingga tidak ada langsung etika dan profesionalisme dalam penulisan mereka.

Saya tidak bermaksud blogger pro Pakatan Rakyat (PR) tidak ada yang mengamalkan corak penulisan sebegini. Ada, tetapi jumlah mereka tidak seramai blogger pro Umno-BN.

Saya tidak membuat catatan angka, tetapi sejak sekian lama, saya lebih kerap dan banyak menemui entri menggunakan bahasa kesat, mencarut dan penuh emosi kebencian di dalam blog pro Umno-BN berbanding pro PR.

Bukan sahaja kepada blogger parpukari.blogspot.com, malah semua blogger lain sama ada pro Umno-BN atau pro PR, apa yang perlu diingat ialah penulisan kita menggambarkan siapa kita.

Sebagai blogger, anda boleh memihak dan menyokong mana-mana pihak yang anda mahu sokong, tetapi perkataan, frasa dan ayat yang sarat luapan emosi di dalam penulisan akan menyerlahkan sikap hodoh anda sebagai blogger!

Kalau mahu membalas hujah atau menghentam pihak yang anda tidak sokong sekadar dengan luapan emosi kebencian, caci-maki dan dendam kesumat, anda hanya mampu menjadi blogger yang layak berada ‘di bawah lapik punggung’.

Kalau mahu jadi blogger, jangan jadi ‘blogger cap ayam’. Jadilah blogger berwibawa dengan membalas hujah lawan menggunakan fakta dan bahasan intelektual, bukan menulis seperti ‘budak tak sekolah’!

Lihat contoh penulisan blogger A Kadir Jasin di kadirjasin.blogspot.com. Sebagai bekas wartawan kanan dan Editor Kumpulan di New Straits Times Sdn Bhd dan Berita Harian Sdn Bhd, beliau menulis secara beretika dan profesional. Semua orang tahu kiblat politik beliau ialah Umno dan Tun Dr Mahathir Mohamad, tetapi penulisannya tidak sarat dengan sumpah seranah, sebaliknya setiap hujah dan fakta dilontar secara profesional dan dibahas menggunakan kaedah intelektual.

Malah A Kadir kadang-kadang turut menegur, mengkritik dan memperli pemimpin dan parti Umno-BN, tetapi juga secara beretika dan profesional.

Baca sekali lagi antara beberapa frasa yang digunakan di dalam parpukari.blogspot.com yang saya petik di atas tadi. Antaranya ialah ‘si Nizar Laknatullah’ ‘benda bodoh si bahalol ni (Nizar) buat’ dan ‘siapa sebenarnya Nizar Lahanat’.

Ini sekadar contoh. Banyak lagi contoh frasa oleh ramai blogger cap ayam boleh ditemui di internet.

Selain penulisan yang sarat dengan emosi kebencian, caci maki dan sumpah seranah, satu lagi yang kerap ditemui di dalam blog pro Umno-BN ialah membuat tuduhan tanpa asas perundangan yang sah serta sahih.

Contohnya, masih banyak blog pro Umno-BN melabelkan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai ‘peliwat’ sedangkan beliau tidak pernah pun disabitkan oleh mana-mana mahkamah berhubung kesalahan itu. Kita boleh untuk tidak bersetuju, malah menentang habis-habisan perjuangan politik Anwar, tetapi kita tidak patut mengaitkannya dengan apa juga perlakuan jenayah yang tidak pernah disabitkan ke atasnya.

Contoh perlakuan blogger cap ayam seperti ini boleh ditemui di dalam blog papagomo.com. Ya, memang benar, sesetengah blog seumpama ini dikunjungi ramai, tetapi kita perlu ingat bahawa secara analoginya, selain ‘rumah pak imam’, ‘rumah pelacur’ turut dikunjungi ramai orang (dan syaitan juga)!

Saya teringat pesan mahaguru saya dan mahaguru kepada ramai lagi individu lain yang pernah bergelar wartawan, iaitu Tokoh Wartawan Negara Allahyarham Tan Sri A Samad Ismail (Pak Samad).

Pesan beliau kepada saya ialah, “jika sebelum menulis mengenai seseorang, kamu berasa tidak suka atau benci kepada orang berkenaan, jangan tulis (mengenai orang itu) kerana kamu mungkin tidak dapat menulis secara objektif”.

Kata-kata itu diucapkan oleh Pak Samad kepada saya dan seorang lagi teman wartawan di suatu sudut berdekatan bahagian dapur di rumahnya di Petaling Jaya, Selangor pada 1990. Bahagian berhampiran dapur rumahnya itu menempatkan perpustakaan peribadi beliau yang sarat dengan pelbagai jenis buku.

Sebagai wartawan yang bertugas dengan akhbar harian arus perdana waktu itu, saya sekali sekala ke rumah Pak Samad selain mengikuti kursus kewartawanan kelolaannya di pejabat akhbar tempat saya bekerja.

Berbalik kepada blogger cap ayam, saya juga suka mengaitkannya dengan ucapan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak di banyak tempat sebelum ini, terutama selepas Bersih 3.0 dan yang terbaru ketika berucap sempena sambutan Hari Keputeraan Yang di-Pertuan Agong semalam, iaitu beliau meminta semua pihak agar mengamalkan budaya dan adab murni.

Namun, nampaknya masih ramai blogger yang menyokong beliau dan Umno-BN tidak mengamalkan budaya serta adab murni dalam penulisan blog masing-masing, sebaliknya memilih untuk menjadi blogger cap ayam yang layak diletakkan ‘di bawah lapik punggung’ sahaja.

Jadi, jika anda berhajat mahu menjadi blogger yang baik dan berjaya, terutaama dari sudut hukum moral dan nilai murni sebagai penulis internet, panduan ini mungkin berguna. (Tok Awang) – inimajalah.com

Nota:

Comments are closed.