Google Menambah-Baik Sekuriti Pemasangan Aplikasi Android – Akan Mengimbas Selepas Pemasangan

Platform Android sering dikaitkan dengan kadar malware yang tinggi, dimana beberapa aplikasi membawakan bahaya apabila boleh mencuri data dan sebagainya. Untuk mengatasinya, Google menyediakan beberapa perkara, dan hari ini mereka turut mengumumkan sebuah sokongan baru.

Sehingga kini, pengguna akan diberikan dengan senarai akses yang diminta oleh sesuatu aplikasi sebelum dipasang, selain mana Google sendiri mempunyai perkhidmatan “Verify Apps” yang mengimbas aplikasi sebelum ia dipasang.

Google Verify Apps

Hari ini, Google memperluaskan penggunaan perkhidmatan “Verify Apps” tersebut, dimana ia bukan sahaja akan mengimbas ketika pemasangan, tetapi juga selepas sesuatu aplikasi tersebut dipasang – sekaligus mengenal pasti sebarang perubahan dan bahaya yang dibawakan oleh sesuatu aplikasi yang terpasang di peranti pengguna.

Untuk menjayakan perkara ini, Google mengatakan mereka membawakan teknologi imbasan mereka yang sedia dibangunkan oleh pasukan Android dan juga pasukan Safe Browsing (untuk web).

Perkara ini semestinya akan disukai oleh ramai pengguna Android, apatah lagi ia akan kekal membuat pengimbasan dan pemantauan terhadap perubahan di aplikasi. Sekiranya menjumpai sesuatu yang meragukan, peranti anda akan memberikan amaran ataupun menghalang terus aplikasi berkenaan dan memastikan data anda selamat.

Apa pun, seperti biasa, pengguna boleh nyah-aktifkan fungsi ini daripada halaman tetapan sekuriti sekiranya tidak menyukainya.

Fungsi ini dijangka akan diperkenalkan secara berperingkat oleh Google tidak lama lagi.

Nota: