Bayi Terpelanting Di Atas Jalan Raya

Fuh.My
Fuh.My – Mencetus Fenomena

Malang tidak berbau, itu kata kata yang sering diungkapkan oleh orang melayu kita. Memang benar malang tidak berbau kerana tanpa kita sedar kadang kadang kemalangan itu berlaku. Ikuti kisah tragis di bawah :

KUALA BERANG – “Walaupun menggeletar kerana pertama kali lihat kemalangan di depan mata, saya gagahkan diri angkat seorang bayi lelaki yang tertiarap atas jalan setelah tercampak keluar daripada kereta kerana khuatir dia dilanggar kenderaan lain.”

Bayi Terpelanting Di Atas Jalan Raya | Demikian kata Sabariah Mansor, 49, saksi kemalangan di Kilometer 9 Jalan Ajil-Kuala Berang berhampiran lampu isyarat di bandar Kuala Berang membabitkan tiga Perodua Myvi, sebuah Proton Wira dan sebuah motosikal Honda EX5, semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.20 pagi itu, bayi berusia setahun setengah, Rizki Hazid yang menaiki Proton Wira dipandu ibunya, Siti Sarah Ali, 29, dari arah Ajil-Kuala Berang bagaimanapun terselamat, manakala ibunya patah tangan kiri.

Sabariah berkata, sebaik terdengar bunyi brek kuat, dia yang ketika itu sedang mengemas barang di kedai makannya terus berpaling untuk melihat apa yang berlaku sebelum terdengar bunyi dentuman dan sekelip mata beberapa kereta terbabas serta turut terbalik.

“Kejadian berlaku begitu pantas dan benar-benar buatkan saya terkejut dan ketakutan. Sebaik terlihat seorang bayi berada atas jalan, saya gagahkan diri angkatnya kerana bimbang dilanggar kenderaan lain kerana ketika itu lalu lintas agak sibuk,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Kata Sabariah, ketika itu bayi berkenaan tertiarap atas timbunan kaca dan tidak menangis walaupun terdapat darah di bahagian bawah dagunya, manakala ibunya dikeluarkan orang ramai yang berada di tempat kejadian.

“Beberapa ketika berada dalam dukungan, barulah bayi lelaki itu menangis dan ada sedikit darah keluar daripada mulutnya. Ibunya pula cedera di bahagian tangan kiri dipercayai kerana tersepit.

“Saya dibantu beberapa individu lain termasuk anggota polis yang ketika itu berada di kedai, menghantar mereka ke hospital,” katanya.

Sabariah berkata, dia berniaga kedai makan di kawasan lampu isyarat itu sejak 2004 dan ini kali pertama melihat kemalangan berlaku di hadapan mata.

“Sebelum ini hanya menyaksikan keadaan selepas insiden tetapi syukurlah semuanya selamat,” katanya.

Nahas libat lima kenderaan

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Hulu Terengganu, Deputi Superintendan Mohd Ismail Muslim berkata, kemalangan melibatkan tiga kereta dari arah Ajil ke Kuala Berang dan masing-masing sebuah
kereta dan motosikal yang menghala ke arah Ajil.

Menurutnya, sebelum nahas berlaku, Perodua Myvi warna kelabu dipandu Rohaya Wahab, 39, berasal dari Kampung Tok Gebok berada di lorong kanan dan berhenti di lampu isyarat merah sebelum membelok ke kanan menuju ke Jalan Pusara.

“Datang dua kenderaan lain di belakang iaitu Proton Wira dipandu Siti Sarah diikuti Perodua Myvi warna putih dipandu seorang guru sekolah rendah, Rasniza Zakaria, 32,

“Kemalangan dipercayai berlaku apabila pemandu Myvi putih dan Proton Wira dikatakan secara serentak ingin menukar lorong ke sebelah kiri kerana ingin menuju ke arah bandar Kuala Berang.

Kedua-dua kenderaan itu bergesel lalu menyebabkan perlanggaran,” katanya.

Mohd Ismail berkata, akibat daripada itu, Myvi putih merempuh kereta dipandu Rohaya menyebabkan Myvi kelabu itu naik ke atas pembahagi jalan, manakala Proton Wira terbabas ke kiri jalan dan hampir merempuh tiang lampu isyarat.

“Pemandu Myvi putih pula dipercayai tertekan pedal minyak hingga menyebabkan kenderaan itu terbabas ke seberang jalan dan merempuh motosikal ditunggang Rohani Ibrahim, 43, berasal dari Kampung Binjai Kertas dan sebuah Perodua Myvi dipandu Zainal Bong Zahid, 55.

“Kereta dipandu Rasniza juga turut terbalik lalu merempuh pagar laluan pejalan kaki berhampiran Pejabat Daerah Hulu Terengganu, namun pemandunya tidak mengalami kecederaan,” katanya.

Nahas menyebabkan Siti Sarah patah tangan kiri dan Rohani patah paha kanan, manakala Rohaya hanya cedera kecil di tangan kanan.

Sumber

If you enjoyed this post, you should read this: Recipe

Bayi Terpelanting Di Atas Jalan Raya
Beki Mustaffa

Nota: