Bagaimana menjadi kaya: Inspirasi pengasas bersama Facebook

Banyak cara untuk menjadi kaya. Satu daripada cara bagaimana untuk menjadi kaya ialah dengan berkongsi idea dalam projek berpotensi tinggi dan diminati ramai. Seorang daripada yang berjaya meraih kekayaan dengan cara ini ialah Dustin Moskovitz.

Beliau ialah pengasas bersama laman sosial Facebook.  Anak muda ini seolah-olah dapat menduga bagaimana untuk menjadi kaya. Beliau meraih kekayaan dengan menyertai pengasas Facebook, Mark Zuckerberg .

Apabila memperkatakan mengenai Facebook, orang biasanya mengenali Mark Zuckerberg sebagai pengasas. Tidak ramai mengenali beberapa lagi rakan kongsi dan pengasas bersama, termasuklah Dustin Moskovitz.

Tahun ini, Dustin Moskovitz baru berusia 29 tahun, muda lapan hari berbanding Mark Zuckerberg, tetapi sudah memiliki kekayaan bernilai kira-kira RM10.5 bilion.

Kekayaan itu adalah atas nilai pegangan sahamnya di dalam Facebook.  Nilai kekayaannya dianggarkan meningkat selepas saham Tawaran Awam Permulaan (Initial Public Offering / IPO) Facebook diniagakan pada 25 Mei 2012.dustin

Kedua-dua pengasas Facebook ini – Mark Zuckerberg dan Dustin Moskovitz – adalah rakan sebilik ketika di Universiti Harvard.

Dua lagi pengasas bersama Facebook ialah Eduardo Saverin dan Chris Hughes.

Tahun lalu, majalah kewangan popular dunia, Forbes.com meletakkan Dustin Moskovitz sebagai jutawan dunia paling muda berdasarkan milikan saham 7.6 peratus di dalam Facebook.

Ia adalah bagi kategori kekayaan hasil usaha sendiri, bukan diwarisi.

Beliau pernah bekerja sepenuh masa di Facebook sebelum meninggalkan syarikat laman sosial itu untuk mengasaskan Asana pada 2008.

Moskovitz yang berketurunan Rusia-Yahudi, dilahirkan di Gainesville, Florida dan dibesarkan di Ocala, Florida di Amerika Syarikat.

Sesuatu yang unik pernah dilaporkan mengenai jutawan muda ini ialah beliau gemar ke pejabat dengan hanya berbasikal walaupun sudah bergelar jutawan dengan kekayaan mencecah RM10.5 bilion.

Apa yang dapat dipelajari daripada kisah semua jutawan ini?

Antaranya ialah fikirkan dan usahakan sesuatu yang orang biasa-biasa tidak fikirkan dan usahakan, sekali gus berikan komitmen bulat terhadapnya. Abaikan cakap-cakap negatif daripada manusia sekitar.

Tidak seorang pun daripada individu yang disenaraikan sebagai jutawan di serata dunia melakukan perkara biasa-biasa sebagaimana dilakukan oleh individu biasa-biasa. – inimajalah.com

Nota: