inimajalah, dherba, herba

8 Perkara Yang Anda Patut Tahu Dan Lakukan Jika Anak Diserang Demam Sawan

Nota Editor: Pengalaman anak saudara diserang demam sawan telah mendorong Cik Sakiinah M. Hakimi menghantar artikel ke Vocket agar dapat menimbulkan kesedaran betapa pentingnya untuk ibubapa atau penjaga patut tahu dan lakukan jika anak bawah umur 5 tahun alami demam sawan. Artikel ini ditulis selepas beliau mendapat nasihat doktor dan rujukan dari laman web kesihatan yang dirasakan mempunyai kredibiliti. Menurutnya, sebarang maklumat lanjut mengenai Demam Sawan harus mendapat rujukan Doktor berdekatan dan bukan internet semata-mata.

Apa yang perlu anda tahu dan lakukan sekiranya anak anda diserang Demam Sawan.

Pada awal Januari yang lalu, Dr. Low Yee Yong, yang dalam penerbangan dari Amsterdam telah menyelamatkan seorang kanak-kanak lelaki berusia 2 tahun setengah dari serangan ‘Febrile seizure’ atau Demam Sawan. Beliau telah membuka semua pakaian dan meminta air sejuk dan span untuk dibasahkan bagi menurunkan suhu badan kanak-kanak tersebut.

Selain itu beliau turut memberikan oksigen untuk kanak-kanak tersebut bernafas. Selepas 30 minit, kanak-kanak tersebut menangis dan kembali pulih. Menurutnya, keadaan ini biasa berlaku pada kanak-kanak terutama apabila suhu badan mereka lebih daripada 38.5 darjah Celcius. (Sumber: The Straits Times)

Febrile Seizure atau fever fit yakni, ‘Demam Sawan’ dalam Bahasa Malaysia sering terjadi kepada kanak-kanak yang berusia antara 6 bulan ke 5 tahun yang mengalami suhu badan yang tinggi atau demam panas. Antara tanda-tanda yang boleh dilihat ialah apabila mata kanak-kanak terbeliak, bibir seakan kebiruan akibat kekurangan oksigen, kaki mengeras dan menjadi kejang.

lazada

Menurut artikel dari Malaysian Medical Gazzette yang ditulis oleh seorang pagawai perubatan pediatrik, Dr Alya Hamzah, kebanyakan serangan sawan berlaku kurang dari 5 minit sebelum kembali normal dalam masa 60 minit. Walaupun demam sawan tidak menyebabkan epilepsi tetapi ia boleh berulang lagi.

Oleh itu, apa yang perlu anda lakukan?

1. Bertenang, jangan panik!

Sememangnya ia adalah satu pengalaman yang mencemaskan apabila melihat anak anda dalam keadaan tersebut. Namun cuba sedia upaya untuk bertenang dan bertindak dengan sebaiknya apabila serangan berlaku. Sekiranya anda berseorangan, dapatkan bantuan dari jiran atau rakan terdekat bagi membolehkan seseorang mengambil alih tugas tersebut sementara anda menenangkan diri.

2. Pindahkan anak anda ke kawasan yang selamat.

Jauhkan anak anda dari sebarang objek yang berdekatan bagi mengelakkannya dari tertendang dengan tidak sengaja semasa serangan berlaku. Cari kawasan yang lapang dan jauh dari sebarang objek yang berpotensi untuk dicapai oleh kanak-kanak semasa serangan berlaku. Buka pakaian anak anda agar dapat bernafas dengan baik.

3. Letakkan anak anda di posisi mengiring ke sebelah kiri.

Ini bertujuan untuk mengelakkan anak anda dari tercekik sekiranya sesuatu ada sesuatu dalam mulutnya. Jangan sesekali cuba memasukkan sebarang sudu , jari atau apa sahaja objek untuk mengeluarkan apa yang di dalam mulutnya.

Namun, jika anda dapati ada sesuatu dalam mulutnya dengan jelas, boleh cuba keluarkan dengan satu pergerakan jari yang cepat ke dalam mulutnya tetapi jangan sampai menjolok jari anda ke mulutnya. Hal ini kerana , ia boleh membahayakan anak anda sekiranya tertelan atau tergigit objek tersebut. Dilarang juga memaksa anak anda minum air semasa serangan berlaku.

4. ‘Timing’ masa serangan demam sawan.

fever fit 2

Kebiasaannya, sawan akan berhenti selepas beberapa minit, setelah serangan berhenti, bawa anak anda ke klinik atau hospital berdekatan untuk pemerhatian lanjut. Sekiranya sawan berterusan lebih dari 5 minit, terus bawa anak anda berjumpa doktor.

Kira masa serangan berlaku sehingga ia berhenti bagi memudahkan doktor membuat diagnosis yang lebih tepat dan menyeluruh. Ceritakan sepenuhnya apa yang berlaku sebelum,semasa dan selepas serangan berlaku. Walaupun demam sawan tidak merbahaya, doktor perlu memastikan sawan tersebut bukan disebabkan masalah lain yang lebih serius seperti radang selaput otak, gula terlalu rendah, atau masalah ketidakseimbangan badan yang lain.

5. ‘Prevention’ atau cegah sebelum terjadi.

Sekiranya anak anda demam, pastikan suhu badan anak anda berada dalam keadaan yang terkawal dan tidak melebihi 38 darjah Celcius. Sentiasa lapkan badan anak anda dengan air suam dan sentiasa tukar air lap apabila air semakin sejuk.

Air asam jawa juga merupakan amalan tradisional yang digunakan untuk menurunkan suhu badan anak anda. Pastikan juga anak anda tidak ‘dehydrated’ dengan meminum air yang banyak sama ada dalam bentuk sup, jus buah, atau air kosong dan BUKAN minuman bergas!

Amalkan pemakanan yang sihat dan seimbang serta elakkan ‘junk food’ atau makanan ringan.

6. Periksa suhu badan anak anda dari semasa ke semasa menggunakan termometer.

‘Invest’ atau laburkan wang anda untuk membeli termometer digital yang berkualiti untuk memeriksa suhu badan anak anada dari semasa ke semasa. Jangan selimutkan badan anak anda ketika demam panas kerana ini akan menyebabkan suhu badan anak anda semakin meningkat. Jangan tidurkan anak anda di bilik yang berhawa dingin, kekalkan di bilik bersuhu normal.

7. Maklumkan ahli keluarga mengenai langkah pencegahan ini agar ahli keluarga anda tahu bagaimana untuk bertindak sekiranya anda tiada di sisi anak anda.

Sekiranya anda mempunyai anak yang lebih dari lima tahun, ceritakan juga dengan cara yang paling mudah kepada kakak atau abang anak anda supaya mereka segera memaklumkan anda atau mendapatkan bantuan orang dewasa berdekatan jika melihat tanda-tanda demam sawan. Kesedaran mengenai apa yang perlu dilakukan semasa serangan demam sawan amat penting bagi memastikan keselamatan dan nyawa anak anda terjamin selain tahu cara untuk menangani keadaan semasa kejadian berlaku.

8. Rujuk doktor bertauliah dan jangan jadi ‘doktor’ sendiri mahupun ‘Dr Google’.

Gunakan ubat yang disahkan oleh doktor dan jangan ambil mudah mengenai kesihatan dan penyakit anak anda. Elakkan dari menerima bulat-bulat apa yang ditulis di internet tanpa merujuk kepada doktor pakar. Tidak semua yang di internet adalah tepat dan berkesan untuk semua orang.

Oleh itu ikuti program vaksin yang disediakan oleh Kementerian Kesihatan dan rujuklah doktor dari klinik atau hospital yang berdekatan untuk memahami dengan lebih lanjut mengenai penyakit anak anda. Dr Google tidak boleh menyelamatkan nyawa anak anda tetapi anda mampu sekiranya anda segera mendapatkan rawatan doktor yang lebih pakar.

LIKE dan FOLLOW Vocket di Facebook serta Instagram